'Integriti lahir daripada keimanan, ketaqwaan kepada ALLAH SWT'

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Sifat integriti lahir daripada jiwa umat Islam yang beriman, bertaqwa dan memperhambakan diri kepada ALLAH SWT, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata, kepercayaan kepada Tuhan mewajibkan integriti menjadi sebahagian daripada ajaran fitrah manusia yang bermoral.

Menurutnya, integriti juga wujud apabila umat Islam patuh kepada undang-undang ALLAH SWT dan peraturan yang dicipta oleh manusia dengan izin-Nya.

Namun, undang-undang ALLAH SWT merupakan undang-undang yang paling tinggi mengatasi semua, sehingga tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang sekiranya wujud salah laku termasuklah para rasul yang dilantik oleh ALLAH SWT dan dipelihara sifatnya.

“Begitu juga pemimpin dan pemerintah yang dilantik oleh manusia dengan kedudukan paling tinggi seperti raja, Presiden atau Perdana Menteri,” katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebooknya pada Jumaat.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Islam merupakan agama terawal yang meletakkan urusan politik sebahagian daripada ajarannya dengan melaksanakan konsep pemisahan kuasa badan kehakiman yang menjadi kebanggaan demokrasi Barat.

Katanya, dalam memilih pemimpin yang berintegriti, Rasulullah SAW telah melaksanakan konsep pemisahan kuasa antara pemerintah, pentadbiran dan kehakiman sewaktu menegakkan negara Islam di Madinah.

“Kemudiannya, ia diikuti oleh para Khulafa al-Rasyidin selepasnya dalam banyak peristiwa kehakiman yang melibatkan antara ketua negara dengan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam dalam kalangan masyarakat majmuk.

Artikel Berkaitan:

“Hanya sifat taqwa yang lahir daripada iman yang ikhlas kepada ALLAH SWT sahaja mewajibkan seseorang berintegriti dengan konsisten bukannya secara berpura-pura,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!