KKM rayu orang ramai ambil dos penggalak

KKM merayu agar orang ramai segera mendapatkan dos penggalak bagi mencegah jangkitan lebih serius. Foto hiasan
KKM merayu agar orang ramai segera mendapatkan dos penggalak bagi mencegah jangkitan lebih serius. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu agar orang ramai segera mendapatkan dos penggalak bagi mencegah jangkitan menjadi lebih serius.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebanyak 77.5 peratus daripada kes yang dilaporkan pada Rabu adalah tidak mendapat suntikan dos penggalak.

"Dos bukan jaminan untuk kita tidak dijangkiti tetapi membantu mencegah gejala yang lebih serius," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.

Menurutnya, data kes harian pada 16 Februari menunjukkan 51 kes atau 52.8 peratus telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak berada dalam kategori tiga hingga lima.

"Kumpulan ini berisiko kerana kemungkinan tahap imuniti terhadap Covid-19 telah menurun," katanya.

Beliau berkata, bagi kategori sama, terdapat 24 kes tidak vaksinasi atau belum lengkap divaksin.

"Sebanyak 39 kes melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas, 31 mempunyai komorbid dan enam telah meninggal dunia," katanya.

Mengulas mengenai jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak, Khairy berkata, ia merekodkan peningkatan sebanyak 160 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-lima hingga ke-enam.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 6,524 kes direkodkan pada ME Ke-5 kepada 16,959 ME Ke-6 melibatkan kanak-kanak dengan usia baru lahir sehingga 11 tahun," katanya.

Dari segi pecahan angka, beliau berkata, 2,282 daripada 6,524 kes adalah membabitkan bayi baru lahir sehingga kanak-kanak berusia empat tahun manakala 4,242 kes ialah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

"Bagi ME Ke-6 pula, terdapat 6,163 kes melibatkan bayi baru lahir sehingga empat tahun dan 10,796 kes kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun," katanya.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan peningkatan jangkitan di dalam kalangan kanak-kanak agak membimbangkan.

"Daftarlah anak-anak untuk PICKids dan segera ambil vaksin," katanya.

Sementara itu, majikan disaran memberi kelonggaran kepada pekerja mereka untuk membawa anak mendapatkan vaksin.

"Ini KKM tidak boleh paksa, tapi kita meminta kerjasama daripada majikan untuk memberi kebenaran supaya pekerja membawa akan mendapatkan vaksin Covid-19. Bukti di MySejahtera," katanya.

Pada perkembangan sama, Khairy berkata, KKM akan mempergiat usaha untuk meningkatkan liputan dos penggalak di Johor.

"Saya telah meminta supaya di johor kita melihat kepada liputan dos penggalak dengan teliti berdasarkan daerah.

"Di Mersing adalah terendah iaitu 35 peratus yang telah menerima dos penggalak manakala Pontian pula 39 peratus dari jumlah populasi dewasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!