Pertembungan pelbagai parti, bukti politik dinamik
KOTA TINGGI - UMNO melihat pertembungan parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung 12 Mac depan, sebagai satu bentuk kedinamikan politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebagai sebuah parti yang matang, UMNO tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana ia merupakan satu bentuk amalan demokrasi.
"Pertembungan pelbagai parti politik ini adalah sesuatu yang dinamik, saya melihat semua ini sebagai demokrasi. Masa telah berubah dan kini kita berada di zaman digital.
"Sebagai contoh saya tiada masalah duduk dengan Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara Kejora, saya Naib Presiden UMNO dan beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Wilayah Kejora pada Khamis.
Hadir sama Pengerusi Kejora, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh.
Pada Selasa Parti Warisan (Warisan) menjadi parti terbaharu mengesahkan penyertaan pada PRN Johor.
Selain itu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut akan bertanding buat kali pertama pada PRN kali ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas ‘serangan’ Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap UMNO termasuk isu ‘kluster mahkamah’, Mahdzir berkata, keputusan terletak di tangan pengundi.
“Di luar sana ada (masyarakat) kelas pertengahan, teknokrat dan golongan profesional termasuk yang tinggal di kampung jadi penilaian yang akan dibuat mereka adalah pada hari mengundi nanti,” katanya.
Pada malam Rabu, Muhyiddin ketika berucap pada Pentas PN DUN Tenggaroh di Mersing melabelkan UMNO sebagai parti yang perlu dikalahkan dengan lebih teruk berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Beliau turut mendedahkan usaha dua pimpinan tertinggi UMNO yang terlibat dengan kes mahkamah memohon pertolongan untuk mencampuri urusan penghakiman itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!