Bank Rakyat diiktiraf koperasi premier Malaysia 2021
KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menerima pengiktirafan sebagai Koperasi Premier Malaysia 2021 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini.
Bank Rakyat dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan kedudukannya sebagai antara lima koperasi terbaik dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2018.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, pengiktirafan itu membuktikan Bank Rakyat berada di landasan tepat dalam melaksanakan mandat penubuhan bank yang bermula sebagai perintis koperasi pada 1954.
"Sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dan bank Islam kedua terbesar dari segi saiz aset dengan jumlah lebih 800,000 anggota daripada kalangan individu dan koperasi, Bank Rakyat masih berjaya mengekalkan keutuhan prestasi kewangan pada tahap baik saban tahun hasil sokongan pelanggan dan anggotanya,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan timbalannya Datuk Muslimin Yahaya menyerahkan sijil pengiktirafan tersebut kepada Abd Rani dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan pada majlis pelancaran sambutan 100 tahun koperasi minggu lalu.
Sementara itu, Syed Abdul Aziz berkata, kestabilan kedudukan kewangan bank berkenaan juga dapat dilihat dari segi pencapaian keuntungan sebelum cukai dan zakat melebihi RM1 bilion sejak 2016.
"Bagi tahun kedua pelaksanaan pelan strategik Bank Rakyat 2025 tahun ini, Bank Rakyat akan terus memanfaatkan potensi yang boleh diterokai dengan mempelbagaikan perniagaan, daripada runcit kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada anggota, pelanggan dan komuniti,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SKM atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan kepada Bank Rakyat dalam memperkasakan sektor koperasi negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!