Nur Izzuddin azam aksi terbaik berdepan Jepun
PEMAIN beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani berazam memberikan aksi terbaik dalam usaha mencatatkan kemenangan ketika berdepan Jepun pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Jumaat.
Menurutnya, kemenangan ke atas beregu Kazakhstan, Shalagin Andrey-Tajibullayev Makhsut dalam tempoh hanya 15 minit pada Khamis melonjakkan semangatnya dan Goh Sze Fei apabila turun menentang gandingan Jepun.
“Kami akan cuba memberikan aksi terbaik pada pertemuan berkenaan dalam usaha mencatatkan kemenangan dan muncul juara kumpulan.
“Hari ini (Khamis), kami bermain seperti biasa dan tidak terlalu over confident menentang beregu Kazakhstan itu.
“Namun, kami juga cuba memberikan aksi terbaik bagi membantu kemenangan skuad negara, kerana bagi kami kemenangan pertama ini cukup penting bagi meningkatkan lagi keyakinan kami untuk berdepan Jepun,” katanya.
Sze Fei-Nur Izzuddin menewaskan gandingan Kazakhstan, Shalagin Andrey-Tajibullayev Makhsut 21-8, 21-4 dalam tempoh hanya 15 minit bagi mengesahkan kemenangan Malaysia pada Khamis.
Ia melengkapkan kemenangan 5-0 setelah pemain perseorangan pertama, Aidil Sholeh Ali Sadikin menewaskan Niyazov Artur 21-11, 21-12 diikuti perseorangan kedua, Lim Chong King menewaskan Kulimatov Khaitmurat 21-11, 21-11.
Perseorangan ketiga, Jacky Kok Jing Hong menewaskan Tajibullayev Makhsut, 21-8, 21-4 sebelum beregu pertama negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menang 21-5, 21-5 ke atas gandingan, Ibrayev Jangir-Lysenko Ilya.
Sementara itu, Sze Fei berkata, dia berharap mereka mampu mengekalkan aksi konsisten selain meminimumkan kesilapan dalam usaha mencatatkan kemenangan berdepan Jepun.
“Kami akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih berhubung percaturan strategi. Pair Jepun itu laju, jadi kami perlu bincang dengan jurulatih dan plan strategi terbaik untuk menentang mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!