Presiden Singapura beri penangguhan hukuman gantung rakyat Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Pausi Jefridin, rakyat Malaysia yang sepatutnya menjalani hukuman gantung pada Rabu kerana kesalahan dadah telah diberi penangguhan pelaksanaan hukuman oleh presiden republik itu, Halimah Yacob.

Peguamnya, Charles Yeo mengesahkan perkara itu.

Sebelum itu, peguam Singapura, M Ravi menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, presiden mengeluarkan perintah penangguhan pelaksanaan hukuman mati kepada Pausi.

Dalam hantaran berasingan, Ravi turut menyiarkan salinan perintah penangguhan hukuman gantung terhadap warga Singapura, Roslan Bakar.

Ketika ditanya mengenai tempoh penangguhan itu, Yeo berkata: "Sekurang-kurangnya hingga 28 Februari. Ia adalah penangguhan yang tidak had tempohnya."

Mahkamah Rayuan Singapura pada Rabu menolak cubaan berasingan oleh Pausi dan Roslan menghindari pelaksanaan hukuman mati. Kedua-duanya dijatuhi hukuman mati pada 2010.

Dilaporkan bahawa pada 14 Februari, Yeo memfailkan usul jenayah meminta Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan pada 2018 mengenai hukuman mati tetapi ditolak panel tiga hakim setelah didengari pada hari berikutnya.

Laporan itu berkata, peguam kemudian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengisytiharkan hukuman mati itu tidak mengikut perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Ia turut didengari dan ditolak Mahkamah Tinggi pada pagi Rabu (16 Februari) tetapi penangguhan telah diberikan sementara menunggu proses rayuan.

Rayuan didengari tiga hakim pada petang yang sama (Rabu) turut menolak permohonan itu.

Dalam kedua-dua sabitan, Yeo berhujah Roslan dan Pausi kurang upaya daripada segi intelek - isu yang sebelum ini dibangkitkan oleh kedua-dua mereka tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 2017 dan Mahkamah Rayuan pada 2018, menurut laporan itu.

Pasangan itu didakwa mengedar tidak kurang daripada 96.07gram heroin pada 14 Jun 2008. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!