Nadma lakukan 'post-mortem' bencana banjir
SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengambil inisaitif melaksanakan Post-Mortem Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata, insiatif tersebut dilakukan dengan kerjasama Disaster Preparedness & Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.
Menurutnya, ia bagi mengenal pasti isu-isu yang wujud dalam pelaksanaan bantuan bencana dalam kalangan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
“Turut dicadangkan tindakan penambahbaikan yang sesuai dilaksanakan dalam masa pendek, masa sederhana dan jangka masa panjang,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Khamis.
Beliau berkata, menerusi kerjasama seumpama itu mampu memperkasakan sistem bantuan sokongan ketika menghadapi bencana berskala besar di negara ini.
“Melalui kerjasama bersama NGO dan pihak-pihak berkepentingan yang lain di bawah platform kerjasama rakan Nadma ini juga diharap dapat memperbaharui komitmen jangka masa panjang.
“Termasuk memperkasakan sistem bantuan sokongan ketika menghadapi bencana berskala besar, mempertingkatkan keupayaan dan kapasiti NGO serta mengukuhkan sistem pengurusan risiko bencana,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!