Siasatan perolehan LCS ambil masa kerana libatkan syarikat antarabangsa

Ahmad Kusairi (tengah) ketika bercakap dalam sidang media pada Khamis.
Ahmad Kusairi (tengah) ketika bercakap dalam sidang media pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung kes penyelewengan membabitkan perolehan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) akan mengambil masa agak panjang kerana melibatkan beberapa buah syarikat antarabangsa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Kusairi Yahaya berkata, usaha mendapatkan dokumen berkenaan perlu melalui saluran undang-undang negara terbabit.

"Kena faham kes ini berlaku pada tahun 2009, 2010, dan 2011 dan kita sudah buka tiga kertas siasatan dan siasatan sedang berjalan.

"Usaha kita mendapatkan dokumen ia melibatkan beberapa syarikat luar negara dan akan mengambil masa kerana perlu melalui prosedur saluran undang-undang.

"Kita panggil mutual legal assistance in criminal matters yang perlu kerjasama dari dua negara jadi tidak boleh agensi penguatkuasaan yang pergi, mesti melalui proses undang-undang ini," katanya dalam sidang media majlis pelancaran Program Excel: Liabiliti Koporat dan Pelan Anti Rasuah Organisasi, di sini pada Khamis.

Program tersebut akan dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi swasta bersama suruhanjaya berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Sinar Harian pada 25 Januari melaporkan, dua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ditahan SPRM berdasarkan petunjuk baharu yang ditemui pasukan penyiasatan.

Kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga buah syarikat antarabangsa yang terlibat dalam perolehan LCS tersebut.

Artikel Berkaitan:

Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) dilaporkan berkata, akan memberikan kerjasama penuh dan pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan projek LCS tersebut.

BHIC mengeluarkan kenyataan tersebut susulan laporan yang dibuat kepada SPRM berhubung kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal tempur tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!