SOP Liga Malaysia 2022 kekal: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal beramah mesra bersama murid-murid pada Majlis Perasmian Penutup Program Mengenalpasti Bakat (TID) Murid anjuran Sekolah Sukan Negeri Perak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Khamis. -Foto:Bernama
Ahmad Faizal beramah mesra bersama murid-murid pada Majlis Perasmian Penutup Program Mengenalpasti Bakat (TID) Murid anjuran Sekolah Sukan Negeri Perak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Khamis. -Foto:Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Prosedur operasi standard (SOP) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 yang dijadual bermula bulan depan masih dikekalkan setakat ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, tiada cadangan untuk memberi kelonggaran SOP dari semua aspek bagi kancah liga bola sepak tanah air itu susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

"SOP dalam Liga Malaysia masih terpakai dan saya berharap orang ramai sentiasa mengikut perkara ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM). Ia demi keselamatan semua pihak dan SOP kendiri lebih penting untuk memastikan tiada penyebaran Covid-19.

"Bagaimanapun, saya nasihatkan orang ramai dan mereka terlibat (dalam Liga-M) supaya mendapatkan dos penggalak,” katanya ketika ditemui selepas menutup Program Mengenal Pasti Bakat Murid Tahun 2022 di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris pada Khamis.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dilapor berkata, permintaan untuk memberi kebenaran kepada penyokong makan dan minum adalah satu daripada tiga pertimbangan ditawarkan badan pengelola liga tempatan itu yang ditolak pihak berwajib (kerajaan) untuk musim baharu Liga-M.

Stuart berkata, pertimbangan lain yang turut ditolak adalah soal kuarantin pemain jika ada kes dalam pasukan serta penambahan jumlah kemasukan penonton ke venue perlawanan.

Saingan Liga Super dijadual bermula pada 4 Mac manakala perlawanan pembukaan Liga Perdana akan diadakan mulai 5 Mac ini.

Sebelum itu, lebih 300 murid yang menyertai program TID melibatkan dua fasa iaitu pada 26 dan 27 Januari lalu serta dua hari bermula Rabu, akan dinilai untuk ditawarkan sebagai atlet murid di Sekolah Sukan Negeri Perak bagi kemasukan tingkatan satu tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, pemilihan murid berbakat akan diputuskan dalam mesyuarat pemilihan melibatkan antaranya sukan bola sepak, sepak takraw, bola jaring dan hoki dengan ujian diadakan bukan hanya berfokus kepada kemahiran dan kecergasan, malah turut memberi tumpuan terhadap kemampuan murid dalam akademik.

"Hasil dapatan daripada program ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah khasnya jurulatih merangka latihan dan strategi berkesan dalam mengoptimumkan potensi dan bakat sukan murid," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!