Antara persimpangan Covid-19 dan ekonomi

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEMUA sedia maklum antara nyawa dan wang, pastinya nyawa lebih utama kerana tiada gantinya. Namun demi kesinambungan kehidupan yang ada dan perlu diteruskan, wang adakalanya perlu untuk memudahkan urusan manusia.

Sehubungan itu, apabila kerajaan mengumumkan tidak menutup sektor ekonomi ketika kes gelombang Omicron meningkat, pelbagai reaksi diluahkan oleh netizen.

Dalam konteks ini, pastinya kerajaan telah membuat penilaian yang teliti apabila meneruskan aktiviti sektor ekonomi di waktu negara berdepan peningkatan penularan virus berkenaan.

Andainya kerajaan menutup sektor ekonomi, mungkin mudarat lebih besar iaitu mengalami kerugian lebih besar iaitu melepasi angka RM2.4 bilion sehari yang pernah dicatat sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan PKP pertama sejak Mac 2020.

Kerugian penutupan bukan setakat terarah kepada operasi sektor pembuatan tetapi kesan yang lebih besar membabitkan kehilangan pekerjaan.

Kehilangan pekerjaan pula akan memberi kesan kepada sumber pendapatan isi rumah yang akhirnya dilaporkan berlakunya kebuluran dan kematian akibat tekanan jiwa.

Ekonomi perlu dibuka bagi menjana peluang pekerjaan serta faktor positif lain bagi membolehkan sara hidup diteruskan walaupun tidak sebaik sebelum Covid-19.

Dalam konteks lebih besar, jika ditutup secara berterusan akhirnya ekonomi akan lumpuh dan yang terjejas ialah bidang kesihatan awam.

Artikel Berkaitan:

Malah implikasinya lebih besar kepada orang-ramai yang amat memerlukan pelbagai rawatan perubatan selain peruntukan besar untuk program imunisasi negara.

Jika dilihat dari sudut peningkatan kes, ia bukan setakat terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua kita.

Adakalanya kita terpaksa menerima hakikat peningkatan kes tidak dapat dielak namun ia boleh dikawal menerusi usaha memperlahankan penularan dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

Menjadi tanggungjawab kita untuk terus mengikuti SOP bagi memastikan penularan dapat dibendung dan pada waktu sama aktiviti ekonomi diteruskan demi kesinambungan semua pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!