Pelayan restoran perlu timbang rasa santuni pelanggan warga emas
BARU- BARU Merak Jalanan berpeluang ke utara tanah air bersama keluarga bertujuan untuk makan angin. Pastinya keinginan merasakan menu popular lokaliti tidak boleh dielak melihatkan capaian tinggi pengunjung pada laman sosial berkenaan.
Namun segalanya terencat apabila pelayan di restoran yang baru memulakan operasi itu bersungguh-sungguh menyuruh pelanggan warga emas memesan melalui sistem kod ‘QR’ yang tertera pada meja pelanggan itu.
Pelayan tetap menyuruh pesanan melalui ‘QR’ kepada warga emas itu yang waktu itu terkial-kial membelek telefon bimbitnya.
Merak Jalanan cuba membantu warga emas berkenaan namun gagal kerana liputan internet di kawasan berkenaan agak lemah bagi membolehkan transaksi dibuat seterusnya untuk memesan makanan pada warga emas itu.
Akhirnya warga emas berkenaan beredar dari premis berkenaan dengan perasaan kecewa bersama cucunya.
Mengambil iktibar daripada insiden itu, adakalanya kita perlu ada rasa prihatin dan sikap kasih sayang kepada yang lebih tua. Mungkin kita perlu mengetepikan teknologi canggih yang kadangkala menyusahkan pelanggan buat seketika.
Mungkin pelayan merasakan lebih mudah kerja mengambil tempahan menerusi online namun teknologi tidak boleh dipraktikkan kepada golongan istimewa pada waktu-waktu tertentu.
Apa salahnya ambil order secara lisan daripada warga emas berkenaan.
Insiden itu, menunjukkan kurangnya timbang- rasa antara pelayan kedai makanan berkenaan dengan warga emas yang mungkin datang dari luar kawasan atau terdesak mencari makanan pada waktu panas terik di utara tanah air.
Bagi meredakan keadaan itu, Merak Jalanan pun terus beredar ke kedai makanan lain dan singgah ke gerai mamak yang hanya mengambil order dengan laungan sinonim Malaysia ‘teh tarik satu’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!