'Tiada rasa dendam di hati'

Salmiah menunjukkan telinga suaminya yang masih cedera akibat ditumbuk dan ditendang oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan pada Selasa.
Salmiah menunjukkan telinga suaminya yang masih cedera akibat ditumbuk dan ditendang oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan pada Selasa.
A
A
A

YAN - "Tiada rasa dendam di hati dan saya berharap dia akan berubah selepas ini," kata Nordin Ahmad, 71, yang ditumbuk dan ditendang oleh anak tirinya sehingga cedera dalam kejadian di Kampung Ruat, dekat sini pada Selasa.

Walaupun cedera di mulut, telinga, rusuk kanan dan belakang badan, Nordin berkata, dia memaafkan tindakan anak tirinya yang berusia 29 tahun itu.

Menurutnya, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku dan berharap anak tirinya akan mendapat pengajaran daripada hukuman yang akan dihadapi.

"Walaupun dia bertindak kasar terhadap saya, dia tetap anak tiri saya. Dia tetap anak kepada isteri saya, Salmiah Man, 50. Kami berharap dia akan mendapat rawatan dan kembali pulih," ujarnya semasa ditemui di rumahnya pada Khamis.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengurus Vision Concept, Firdaus Abdul Razak yang menyerahkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Nordin Ahmad
Nordin Ahmad

Nordin baru sahaja pulang mendapatkan rawatan dari klinik swasta di Pekan Yan turut dibekalkan ubat selepas bahagian rusuk kanannya masih lagi berasa sakit akibat kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Rasa sakit sudah berkurangan dan syukur kesihatan makin baik," katanya lagi.

Sementara itu, Salmiah pula berkata, anaknya itu tinggal di rumah bekas suaminya di kampung sama dan mula mengalami tekanan perasaan sejak tahun 2014.

"Setiap hari dia datang makan di sini selain meminta wang untuk kegunaan hariannya. Pada hari kejadian, dia minta sebanyak RM50 untuk beli dadah dan meminta suami menghantarnya ke Hospital Yan untuk mengambil ubat sakit mentalnya.

"Dia mengamuk dan mencederakan suami selepas tidak memenuhi kedua-dua permintaannya itu. Kami akui trauma namun berharap sikapnya akan berubah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!