Keluarga diam diri punca penagih cenderung laku jenayah
KUALA LUMPUR - Ahli keluarga yang malu dan merahsiakan pembabitan individu yang aktif dengan penyalahgunaan dadah adalah antara punca wujudnya jenayah kekerasan dan bunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengambil langkah awal bagi mengatasi masalah ketagihan dadah hingga menyebabkan berlakunya kes jenayah.
"Segelintir masyarakat kurang peka atau prihatin dengan keadaan jiran atau senario yang berlaku di sekeliling mereka dalam keadaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sikap ambil tahu atau peka juga semakin terhakis pada masa ini disebabkan masing-masing memfokuskan kepada mencari nafkah semata-mata dalam tempoh pandemik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ayob Khan berkata, apabila keluarga dan masyarakat tidak membantu maka sukar program rawatan dan pemulihan dapat dilaksanakan ke atas penagih dadah tegar.
"Ia adalah disebabkan ahli keluarga penagih yang enggan bekerjasama untuk membantu ahli keluarga mereka yang ketagihan dadah kepada pihak berkuasa.
"Tindakan tidak ambil peduli ini akan memperlihatkan pihak kerajaan gagal membantu golongan penagih dadah sepenuhnya," katanya.
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, seramai 99 penagih dadah terbabit dalam jenayah berat sepanjang tahun ini manakala 354 orang penagih dikesan terbabit jenayah berat sepanjang tahun lalu.
Dalam satu kejadian bunuh jam 4.55 petang Rabu, seorang wanita berusia 54 tahun mati dengan lehernya putus selepas disyaki dibunuh anak tirinya menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek, Gua Musang.
Polis mengesahkan suspek berusia 39 tahun adalah seorang penagih dadah dan juga pesakit mental.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!