JSJN pertingkat operasi, tangkapan penagih tegar

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan mempertingkatkan operasi dan tangkapan ke atas penagih tegar di seluruh negara bagi menangani kes-kes jenayah kekerasan membabitkan golongan berkenaan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan akan dilakukan melalui pemeriksaan rekod peribadi seseorang penagih sama ada dia kembali kepada gejala dadah melalui sistem maklumat yang ada di setiap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

"Kita akan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat khususnya Ketua Kampung, Penghulu atau Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dalam menyalurkan maklumat berkaitan penagih berulang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ayob Khan berkata, pihaknya akan turun ke lapangan bagi membuat pemerhatian dan penilaian ke atas penagih tegar yang menagih dan mempunyai masalah mental untuk memastikan mereka tidak mengalami ketagihan kepada dadah.

"Objektifnya adalah supaya rawatan dan pemulihan awal dapat diberi oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau pemberian penggunaan methadone oleh klinik-klinik berdaftar.

"Dalam isu ini, kita boleh mengawal ketagihan penagih dadah dan mengelakkan tindakan yang boleh mengancam nyawa dan mencederakan kepada ahli keluarga yang berada dalam keadaan separa sedar atau halusinasi," katanya.

Beliau berkata, program melibatkan JSJN dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu dipertingkatkan bagi membantu penagih dadah kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan yang baru bagi mengatasi masalah peningkatan penagihan dadah di kalangan masyarakat atau ahli keluarga.

Mengulas mengenai kesan pengambilan dadah yang berhubung kait dengan jenayah kekerasan seperti bunuh dan mencederakan, Ayob Khan berkata dadah mempengaruhi ketidakstabilan emosi, tekanan serta kesan berpanjangan yang mengganggu fungsi minda seseorang ditambah lagi penagih yang mempunyai masalah mental.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!