Kebakaran tapak sampah terkawal: Exco Johor
KOTA TINGGI - Kerajaan negeri memaklumkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Bandar Tenggara kini dalam keadaan terkawal dan beransur padam sepenuhnya.
Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Tan Hong Pin berkata, namun begitu, usaha pemadaman akan dipergiat lagi di kawasan kebakaran dengan gerak kerja akan dilaksanakan 24 jam secara bergilir oleh pasukan bomba berhampiran.
"Dalam pada itu, kita ingin menegaskan bahawa kualiti udara di sekitar Kulai dan Kota Tinggi adalah berpunca daripada kejadian kebakaran tersebut dan tidak berkaitan dengan kejadian di Pasir Gudang.
"Oleh itu, kita minta orang ramai khususnya penduduk sekitar agar tidak panik dan menjadikan agensi awam sebagai sumber rujukan serta menyebarkan makluman yang tidak disahihkan," katanya.
Tambahnya, berdasarkan kualiti udara semasa, jawatankuasa bencana daerah telah memutuskan bahawa sesi persekolahan yang ditangguhkan sejak 11 Mac lalu akan bersambung semula bermula semalam.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri menyarankan agar pihak sekolah mengurangkan aktiviti luar bilik darjah sementara keadaan kembali pulih sepenuhnya.
"Justeru, kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Pejabat Daerah Kota Tinggi atas usaha mengawal keadaan kebakaran," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata, penutupan sekolah berkenaan hanya melibatkan sebuah sahaja iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara 2.
Katanya, ia berikutan lokasinya yang terletak hampir dengan pusat pelupusan sampah yang terbakar.
"Sekolah ditutup untuk pembelajaran selama tiga hari kerana udara yang tidak selamat untuk murid khususnya ada 350 murid yang tinggal di asrama sekolah berkenaan. Hari ini (semalam) telah dibuka semula setelah indeks udara selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!