Tiktok Challenge KDEBWM tonjol kreativiti peserta

Sesi pemakluman penyampaian hadiah Peraduan TikTok Challenge KDEBWM yang diadakan secara maya pada malam Rabu.
Sesi pemakluman penyampaian hadiah Peraduan TikTok Challenge KDEBWM yang diadakan secara maya pada malam Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Peraduan TikTok Challenge KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan mesej ‘Asing Sampah, Menang Duit’ mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila menerima penyertaan peserta dari seluruh negara.

Ia sekali gus menunjukkan bahawa usaha menggunakan aplikasi digital iaitu TikTok untuk menerapkan budaya pengasingan sampah dalam kalangan masyarakat di negara mendapat kejayaan seperti yang diharapkan.

Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, meski pun program di bawah anjuran KDEBWM dengan kerjasama Sinar Harian itu berlainan dengan konsep ‘challenge’ (cabaran) TikTok lain, namun ia berjaya menerima pengisian yang berkualiti dan kreatif daripada para peserta.

“Menerusi program ini, kami menerima penyertaan antaranya dari Johor, Kedah dan Pahang. Ia di luar jangkaan kerana KDEBWM beroperasi di Selangor.

“Kami merancang untuk meneruskan peraduan ini pada masa akan datang dan akan melakukan penambahbaikan melibatkan format sedia ada. Nilai-nilai yang positif dalam kehidupan perlu ditambah baik pada setiap masa untuk memastikan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan sejahtera,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Rabu, sesi pemakluman penyampaian hadiah Peraduan TikTok Challenge KDEBWM telah diadakan secara maya.

Menurut Mahfuzah, kempen tersebut turut menerima penglibatan peserta daripada pelbagai kategori dan peringkat umur.

“Ini membuktikan bahawa ruang kreativiti untuk berinteraksi melalui platform digital bukan hanya terhad kepada individu tertentu, malah boleh dimanfaatkan pelbagai peringkat umut masyarakat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kanak-kanak, dewasa, remaja dan orang kelainan upaya (OKU) antara peserta yang menyertai peraduan ini. Saya terkejut kerana mereka bersama-sama untuk menyertai peraduan ini dan ada dalam kalangan mereka memenangi hadiah sagu hati,” ujarnya.

Mesej positif

Menurut Mahfuzah,pengisian video melalui platform digital TikTok, bukan sekadar memberikan hiburan semata-mata tetapi juga mampu membawa mesej positif dalam kehidupan seharian.

“Peserta kanak-kanak yang berusia 14 tahun yang menyertai peraduan ini dinobatkan sebagai juara. Beliau menghasilkan video dengan kreativiti yang menarik dan memberikan maklumat yang jelas serta memenuhi kehendak kami.

“Sangat ‘catchy’ dan mudah difahami. Kreativiti menghasilkan video yang menarik di platform digital perlu digunakan untuk tujuan positif,” tambahnya.

Mahfuzah
Mahfuzah

Peraduan TikTok Challenge KDEBWM terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan berlangsung selama sebulan bermula pada 15 Oktober hingga 15 November lalu.

Para peserta perlu menghasilkan video berdurasi satu minit tentang cara-cara pengurusan sampah yang betul mengikut penyampaian kreativiti masing-masing dan memuat naik di laman TikTok atau Instagram masing-masing.

Peserta juga perlu tag laman rasmi KDEBWM dan Sinar Harian pada video yang dimuat naik itu bersama dengan hashtag #fyp #RecycleChallange #SinarHarian #KDEBwasteRecycle.

Pemenang utama berpeluang meraih wang tunai sebanyak RM2,000, manakala pemenang tempat kedua menerima wang tunai bernilai RM1,500.

Sementara itu, 10 pemenang sagu hati dihadiahkan wang tunai bernilai RM250.

Manfaat hobi

Sementara itu, pemenang utama, Putri Maisarah Batrisya Mohiddeen, 14, tidak menyangka apabila hantaran videonya dalam peraduan itu meraih tempat pertama sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.

“Saya memang meminati penyuntingan video sejak kecil lagi dan menjadikannya sebagai hobi. Menerusi peraduan ini, saya manfaatkan hobi dan kebolehan menyunting video untuk menghasilkan video yang menggalakkan budaya mengasingkan sampah.

“Saya memang suka ‘editing’ (sunting) sejak berumur 12 tahun dan belajar menerusi TikTok.

“Video yang dihasilkan mengajar kita mengamalkan 3R dengan lebih menarik dan orang lain boleh turut mengamalkannya,” katanya.

Bagi pemenang kedua, Izzat Hakimi A’Rizu, 23 berkata, idea untuk menghasilkan video bagi program TikTok Challenge KDEBWM itu tercetus ketika dia bersama rakannya mengusahakan ruangan tempat pengasingan sampah di sekitar ruang kerja mereka.

“Kami melihat iklan peraduan ini dan mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan mengetengahkan hasil kreativiti kami sendiri.

“Alhamdullilah, video kami mendapat sambutan dan kami berjaya menyampaikan mesej yang menepati kehendak penganjur.

Izzat Hakimi dan Putri Maisarah
Izzat Hakimi dan Putri Maisarah

“Di TikTok, terdapat ‘challenges’ (cabaran-cabaran) yang lain tetapi peraduan ini lebih menarik minat kami. Peraduan ini adalah bertujuan menyampaikan mesej kepada orang awam mengenai pengurusan sampah yang lebih baik,” ujarnya.

Menurutnya, penganjuran peraduan tersebut perlu dilakukan dengan lebih kerap untuk menarik minat orang ramai terhadap budaya menjaga kebersihan alam sekitar.

“Pendekatan pihak KDEBWM dan Sinar Harian melalui aplikasi TikTok menunjukkan betapa pentingnya capaian melalui pelbagai laman media sosial mengikut arus semasa dalam menyampaikan mesej kepada orang awam.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KDEBWM dan Sinar Harian kerana telah menganjurkan peraduan yang menarik dan bermanfaat ini,” katanya.

Izzat Hakimi berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!