Conte harap pemain tidak terkesan ‘amaran’ Guardiola
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte berharap pemain tidak terkesan dengan ‘amaran’ daripada pengendali Manchester City, Pep Guardiola yang menyifatkan City mampu mencatatkan kemenangan pada pertemuan kedua-dua pasukan, Sabtu ini.
Malah menurut Conte, kesebelasan The Lilywhites diharap dapat mengekalkan fokus selain memberikan aksi terbaik ketika berdepan skuad The Citizens itu nanti.
“Pemain diharap tidak terganggu dengan amaran yang diberikan Guardiola dan perlu memberikan aksi terbaik.
“Kita tahu, City pasukan yang hebat namun dalam masa sama pemain juga perlu berusaha sebaik mungkin memberikan tentangan sengit kepada mereka.
“Oleh itu, saya mengingatkan pemain supaya beraksi seperti biasa dan tidak terlalu terpengaruh dengan ‘amaran’ disuarakan Guardiola itu,” katanya.
Untuk rekod, Spurs kini berada pada kedudukan kelapan EPL dengan 36 mata setelah mengharungi 22 perlawanan setakat ini dan memerlukan kemenangan setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut sejak kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Conte menyifatkan ‘amaran’ daripada Guardiola itu sebenarnya memberikan kelebihan khususnya daripada segi mental buat pemain-pemain Spurs.
Katanya, ‘amaran’ yang dilihat lebih kepada ‘cabaran’ itu diharap mampu menyuntik semangat pemain untuk memberikan aksi terbaik dan seterusnya mungkin mencatatkan kejayaan.
“Kini, pemain hanya perlu melihat ‘amaran’ berkenaan sebagai satu ‘cabaran’ buat mereka dan diharapkan ia dapat meningkatkan semangat mereka menjelang perlawanan berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!