KPDNHEP serbu tiga syarikat guna perisian cetak rompak

KPDNHEP merampas lima komputer meja dan tiga komputer riba di tiga buah syarikat yang dipercayai menggunakan perisian komputer cetak rompak di Pulau Pinang.
KPDNHEP merampas lima komputer meja dan tiga komputer riba di tiga buah syarikat yang dipercayai menggunakan perisian komputer cetak rompak di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN- Sebanyak lima komputer meja dan tiga komputer riba bernilai RM26,000 dirampas dalam tiga serbuan oleh sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Timur Laut selama tiga hari bermula 15 Februari lalu.

Serbuan dibuat ke atas tiga buah syarikat selepas KPDNHEP menerima aduan berhubung penggunaan perisian komputer yang dipercayai salinan langgaran iaitu cetak rompak.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan dibuat bersama pihak pengadu iaitu Business Software Alliance terhadap penggunaan perisian komputer yang dipercayai tidak asli.

Menurutnya, semua salinan langgaran yang digunakan oleh syarikat yang diperiksa mempunyai hak cipta.

"Serbuan pertama dibuat di sebuah syarikat kejuruteraan di Georgetown. Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dibuat mendapati tiga buah komputer meja yang digunakan syarikat tersebut mengandungi salinan langgaran.

"Salinan langgaran yang digunakan adalah Windows 10 Pro, Office Home and Business 2016, Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, serbuan kedua dijalankan di sebuah syarikat perhiasan dalaman di kawasan Bayan Lepas.

"Kita menemui dua buah komputer meja dan sebuah komputer riba mengandungi perisian Windows 7 Profesional, AutoCAD 2017, 3ds Max Design 2015, Recap 360 Pro, Photoshop CC, Illustrator CS6 dan Sketchup Pro 2016 yang dipercayai salinan langgaran.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, serbuan ketiga pula, dijalankan di sebuah syarikat yang membuat komponen elektronik dan kita merampas dua buah komputer riba. Kedua-dua komputer tersebut juga mengandungi salinan langgaran iaitu Windows 10 Home, Office Standard 2016, AutoCAD 2017, SolidWorks Premium 2017, AutoCAD 2011 for Mac, Excel for Mac, Word for Mac dan Powerpoint for Mac," katanya.

Tambah beliau, lima buah komputer meja dan tiga buah komputer riba disita untuk siasatan lanjut.

"Semua salinan langgaran yang digunakan tidak mendapat kebenaran pemilik hakcipta yang sebenar. Kes ini disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak boleh melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"KPDNHEP memohon orang ramai agar tidak mengunakan salinan langgaran atau perisian cetak rompak dalam melaksanakan urusan harian perniagaan. Penggunaan salinan langgaran adalah satu kesalahan kerana ia membabitkan perlindungan harta intelek serta dilindungi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!