'Hasrat Siew Kim tak kesampaian'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mendiang Datin Tai Siew Kim menyatakan hasrat mahu menziarahi pusara nenek moyang bersama dengan ahli keluarganya selepas pulang daripada percutian di Lombok.

Menurut anak saudaranya, Tai Shin Yin, pesanan terakhir itu telah disampaikan kepada ahli keluarga yang lain sebelum mendiang menyertai program pertemuan semula dengan rakan sekolah lamanya, yang diadakan setiap tahun.

"Kami sekeluarga memang terkejut dan tidak menyangka dengan apa yang berlaku kerana dia sudah merancang untuk menziarahi kubur nenek moyang kami, tetapi nampaknya hasratnya tak kesampaian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Siew Kim, 56, yang juga Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily bersama seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Lim Sai Wah, terbunuh dalam kejadian gempa di Lombok, kelmarin.

Bagaimanapun, anak lelakinya, Teoh Jin Yik, 20, bersama enam lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera, dirawat di hospital, manakala 13 orang terselamat dalam kejadian gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter.

Mereka adalah sekumpulan 22 warga Malaysia yang berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara, ketika bencana tersebut berlaku jam 3.07 petang waktu tempatan.

Sementara itu, Shin Yin berkata, ibu saudaranya yang lebih 36 tahun bertugas sebagai seorang wartawan itu sering menyertai aktiviti perjumpaan semula bersama rakan dari Sekolah Menengah Jementah, Segamat, Johor.

"Mereka sangat rapat dan melancong setiap tahun bersama, dan dah banyak kali ke Lombok, malah ibu saudara saya menang tak sabar sertai aktiviti yang mereka rancang dan memang berhasrat bawa anaknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Gempa Lombok: Warga Malaysia terselamat pulang malam ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!