KPLB gesa agensi capai usia 50 tahun lakukan pembaharuan
KOTA TINGGI - Agensi wilayah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang telah mencapai usia 50 tahun diminta melakukan kelainan dan pembaharuan seiring dengan peredaran masa.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata setiap agensi perlu mencari idea dan kelainan yang perlu dilakukan dalam tempoh 50 tahun mendatang.
Katanya usaha itu boleh dimulakan melalui perkongsian idea dan perancangan melibatkan pelbagai pihak termasuklah KPLB.
"Seperti saya katakan semua agensi wilayah telah sampai usia 50 tahun dan sudah sampai masanya mereka fikirkan pembaharuan seiring dengan zaman.
"Semua agensi wilayah sepatutnya fikirkan macam mana hendak buat sesuatu yang baharu.
"Dahulu polisi 50 tahun ada ubah ikut kesesuaian zaman, tetapi sekarang sudah 50 tahun kita kena cari idea baharu untuk laksanakan dalam kawasan. Semua agensi wilayah dalam Malaysia patut buat retreat fikirkan macam mana hendak buat yang baru," katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar sempena Program Lawatan Kerja di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Dewan Kejora Bandar Penawar di sini pada Khamis.
Jelasnya pemikiran baharu perlulah mengikut kehendak masyarakat kini seperti menambah baik capaian internet di kawasan masing- masing.
“Contohnya capaian internet ini, bukan di bawah Kejora tetapi ia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Tetapi sekarang ini kita lihat, dari segi capaian internet (di sesuatu wilayah itu) ia berada di tahap mana?. Ia mungkin boleh jadi salah satu fokus kita. Dulu kita fokus buat rumah, (tetapi sekarang) permintaan di bawah ini mengenai capaian internet,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!