Perubahan tidak berlaku sekelip mata: Kim Pan Gon

Kim Pan Gon. -Foto Bernama
Kim Pan Gon. -Foto Bernama
A
A
A

PEPATAH Inggeris ‘Rome was not built in a day’ (Rom tidak dibina dalam sehari), mungkin menggambarkan misi ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu Kim Pan Gon untuk menerapkan falsafah bola sepaknya ke dalam minda pemain kebangsaan.

Bagi peminat, apa yang mereka boleh lakukan buat masa ini adalah duduk, berehat dan nikmati apa yang akan berlaku seterusnya buat Harimau Malaya.

Bercakap pada sidang akhbar pertama beliau selepas dilantik sebagai pengendali baharu skuad bola sepak kebangsaan, Pan Gon mahu lebih masa diberikan jika beliau ingin mengubah corak permainan pasukan menjadi lebih agresif.

"Saya tidak boleh membuat banyak perubahan dalam tempoh singkat. Saya ada pengalaman dan jika anda memberi saya masa, saya akan lakukannya untuk anda,” kata bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea Selatan itu.

Untuk mencapai misi itu, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu menegaskan bahawa beliau terlebih dahulu perlu membina asas yang kukuh dan meningkatkan kekuatan fizikal anak-anak buahnya yang baharu, dalam usaha agar Harimau Malaya ‘mengaum’ dengan garang di atas padang.

Dalam pada itu, Pan Gon yang sedia maklum tentang Peta Hala Tuju F:30 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata beliau akan menganalisis semua pemain sebelum memilih skuad untuk tugas terbesar pertamanya - kelayakan Piala Asia 2023 - pada Jun.

Ketua Jurulatih baharu Skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon -Foto Bernama
Ketua Jurulatih baharu Skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon -Foto Bernama

F:30 adalah projek oleh FAM dengan matlamat utamanya meletakkan Malaysia menjadi lima negara terbaik Asia.

Artikel Berkaitan:

Projek itu mungkin selari dengan visi Pan Gon untuk membawa bola sepak Malaysia ke tahap seterusnya dan melangkaui kawasan Asia Tenggara, dengan membantu pasukan negara mara ke peringkat akhir Piala Dunia buat pertama kali pada masa hadapan.

Jurulatih berusia 52 tahun itu turut memuji dua lagi rakan senegaranya, Park Hang-seo yang kini mengendali skuad Vietnam dan Shin Tae-yong (Indonesia), kerana kedua-dua negara itu menunjukkan prestasi baik di rantau Asia Tenggara sejak akhir-akhir ini.

"Saya amat menghormati jurulatih berkenaan tetapi saya adalah diri saya dan saya akan membina sejarah bola sepak tersendiri di sini,” katanya.

Memandangkan beliau belum mengenal pasti penolong jurulatih tempatan yang akan diumumkan tidak lama lagi, Pan Gon mempunyai empat lagi pembantu yang boleh diharapkan buat masa ini.

Daripada empat pembantu dalam pasukan kejurulatihan Pan Gon, Pau Marti Vicente lebih menonjol daripada kalangan peminat tempatan kerana beliau sangat mahir dalam membangunkan pemain muda, terutamanya ketika bersama skuad berpangkalan di Sepanyol, Barcelona B dari 2018-2021, selain menjadi orang kanan Pan Gon dengan pasukan Hong Kong dari 2012-2013.

Tiga lagi pembantu termasuk dua lagi dari Korea Selatan iaitu jurulatih penjaga gol Cho Junho dan jurulatih analisis prestasi pasukan Lim Jaehun yang kedua-duanya pernah berkhidmat dengan Daegu FC, serta jurulatih kecergasan Dr Gokhan Kandemir yang berpengalaman luas dalam liga bola sepak Turki sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donnell berkata pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Pan Gon dan pasukannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Memenangi perlawanan bola sepak bukan mudah dan ia akan bergantung kepada semua orang dan persekitaran bola sepak di Malaysia untuk bersama-sama berusaha mendapatkan sesuatu daripadanya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!