PN tawar pelan pembangunan ekonomi Johor jika menang PRN
JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) menawarkan pelan pembangunan ekonomi Johor bagi tempoh 10 tahun jika rakyat memberi mandat dan berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi jaminan bermula dari tahun ini hingga 2032 itu berkata, ini berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri.
"'Yes, we will develop a plan', mungkin 10 tahun ke hadapan, daripada sekarang ke 10 tahun, bagaimana Johor boleh melonjak dalam semua-semua sektor ekonomi
"Ini (pelan) akan mencangkupi semua bidang perniagaan, peruncitan, pelancongan pertanian dan lain-lain," katanya dalam program sarapan pagi bersama-sama 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bandar Baru Uda di sini pada Jumaat.
Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan wakil NGO berkenaan strategi dan bentuk transformasi ekonomi yang akan dibawa PN, di bawah pimpinan Muhyiddin di negeri ini jika menang PRN tersebut.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu, berkata satu pasukan daripada pakar-pakar akan dibentuk yang boleh menggubal pelan ekonomi baharu negeri Johor.
Beliau juga akan mengarahkan menteri-menteri dalam sektor ekonomi berkaitan untuk turun memberi penerangan.
"Johor ada potensi-potensi yang cukup baik... seperti pelancongan. Tapi apakah langkah lain yang kita buat, supaya pelancong akan datang ke Johor dan berbelanja besar. Itu penting, misalnya untuk kita lihat," kata Muhyiddin lagi.
Katanya, menerusi pelan itu juga PN akan melihat kepada pendapatan per kapita rakyat terutama dengan pandemik Covid-19 telah menyebabkan kedudukan ekonomi segelintir besar masyarakat terjejas teruk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!