Eksport Malaysia kekal stabil, meningkat 23.5 peratus Januari lalu
SHAH ALAM - Prestasi eksport Malaysia kekal stabil dengan mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit pada Januari 2022, dengan peningkatan 23.5 peratus kepada RM110.7 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport itu juga melepasi paras RM100 bilion untuk bulan kelima berturut-turut sejak September 2021.
Tambah beliau, import juga mencatatkan pertumbuhan dua digit 26.4 peratus kepada RM92.3 bilion, tahun ke tahun, selaras dengan peningkatan eksport.
“Jumlah dagangan turut berkembang 24.8 peratus kepada RM203.0 bilion berbanding Januari 2021.
“Pertumbuhan eksport pada Januari 2022 disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik berjumlah RM90.9 bilion dan menyumbang 82.1 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 26.1 peratus.
“Manakala, eksport semula yang bernilai RM19.8 bilion, meningkat 13.2 peratus berbanding Januari 2021. Import meningkat 26.4 peratus kepada RM92.3 bilion dan jumlah dagangan berkembang 24.8 peratus daripada RM162.6 bilion pada Januari 2021 kepada RM203.0 bilion," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lebihan dagangan pada Januari 2022, dengan nilai RM18.4 bilion merupakan lebihan dagangan ke-21 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Berbanding dengan Disember 2021 prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan menunjukkan penurunan masing-masing 10.6 peratus, 0.6 peratus, 6.3 peratus dan 40.6 peratus.
“Pertumbuhan tahunan yang signifikan dalam eksport digambarkan melalui 186 daripada 253 kumpulan barangan menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Bagi import, 208 daripada 257 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi antaranya, ke China (+RM3.8 bilion), diikuti Singapura (+RM2.1 bilion), India (+RM2.0 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.8 bilion), Republik Korea (+RM1.2 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.2 bilion) dan Turki (+RM941.7 juta),
“Peningkatan mengikut juga produk didorong antaranya oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM8.1 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM3.6 bilion), barangan perkilangan logam (+RM2.0 bilion), keluaran petroleum (+RM1.8 bilion), gas asli cecair (+RM1.7 bilion), kimia dan bahan kimia (+RM1.5 bilion) serta barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.3 bilion).
Menurut Mohd Uzir, DOSM telah mengambil usaha proaktif untuk menyebarkan data perdagangan luar negeri Malaysia terkini yang lebih pantas melalui Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia dalam tempoh yang lebih awal.
Tambahnya, buletin itu adalah keluaran pertama yang disebarkan dalam masa dua minggu selepas bulan rujukan seperti mana dimaklumkan terdahulu.
Pada masa sama, beliau berkata. DOSM juga sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022.
“DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!