Pahang meterai perjanjian pelaburan RM5.5 bilion
KUANTAN - Kerajaan Pahang memeterai perjanjian bernilai RM5.5 bilion dengan empat syarikat pelaburan luar negara di Johor Bahru pada Jumaat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perjanjian itu dimeterai di antara Badan Berkanun Negeri Pahang dengan syarikat-syarikat pelaburan dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan sekali gus melonjak pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri.
Menurutnya, enam projek pelaburan akan dilaksanakan di Pahang menerusi perjanjian yang dimeterai itu.
"Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) yang diwakili Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menandatangani tiga perjanjian pelaburan bernilai RM1.145 bilion iaitu bersama Ciptaan Gabungan Global Sdn Bhd (Golden Prosperous International Pte Ltd) dari Singapura melibatkan Projek Kilang Pengeluaran Aloi Mangan berkeluasan 40.47 hektar di Gebeng, Kuantan bernilai RM1 bilion.
"Selain itu Golden Sea Farm (M) Sdn Bhd dari Thailand melibatkan Projek Taman Akuakultur Penternakan Udang berkeluasan 64.75 hektar di Rompin bernilai RM40 juta dan BAF Aqua Sdn Bhd (BAF Pte Ltd) dari Thailand melibatkan Projek Ternakan Udang dan Ikan Berteknologi Tinggi berkeluasan 52.61 hektar di Rompin bernilai RM105 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Pahang Go Sdn Bhd yang diwakili Exco Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memeterai perjanjian pelaburan bersama M-Trip Sdn Bhd dari China, melibatkan Projek Aplikasi Mudah Alih Bagi Pelancongan di Pahang bernilai RM66 juta.
"Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Faizal Jaafar menandatangani pelaburan bersama IBN Lovocean Sdn Bhd (South Ocean Development LLP) dari Singapura melibatkan Projek Pelancongan Rompin Eco Tourism Park berkeluasan 93.48 hektar di sempadan Rompin-Pekan bernilai RM90 juta
"TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amiruddin Mohd Said menandatangani pelaburan bersama Pekan Power Plant Sdn Bhd dari Korea melibatkan Cadangan Pembangunan Janakuasa Elektrik 1,200MW yang berkeluasan 40.47 hektar di Tanjung Agas, Pekan bernilai RM4.21 bilion," katanya.
Perjanjian yang ditandatangani itu disaksikan Wan Rosdy dan turut dihadiri Pegawai Kewangan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak dan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, perjanjian pelaburan itu dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya anak muda.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, kerajaan Pahang berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.8 bilion melibatkan RM987 juta pelaburan domestik, dan RM9.8 bilion daripada pelaburan antarabangsa.
Katanya, bagi tahun ini, kerajaan Pahang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) pelaburan Pahang bernilai RM18 bilion.
"KPI ini sememangnya mampu dicapai kerana berdasarkan maklumat terkini, potensi pelaburan di bawah seliaan Unit Antarabangsa ketika ini adalah dianggarkan bernilai RM45.7 bilion. Ia melibatkan 20 projek pelaburan langsung domestik (DDI) dan 42 projek pelaburan langsung asing (FDI).
"Perincian 62 projek berpotensi ini melibatkan 33 projek dalam pra-rundingan, dua projek dalam rundingan, 18 projek telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan sembilan projek telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA)," katanya.
Beliau berkata, projek-projek berpotensi itu melibatkan pelabur dari 10 negara iaitu China, Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, Hong Kong, Switzerland, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia.
"Kita sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan negeri ini dapat dibangun dan dimajukan secara menyeluruh serta seimbang demi manfaat rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!