Tiga premis diserbu curi elektrik lombong bitcoin
TELUK INTAN - Polis menyerbu tiga premis yang dipercayai menjalankan kegiatan melombong bitcoin secara haram di sekitar daerah Hilir Perak di sini, pada Khamis.
Serbuan di Teluk Intan dan Hutan Melintang itu dilakukan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula jam 12 hingga 1.20 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, premis terbabit disyaki terlibat kegiatan mencuri arus elektrik untuk menjalankan operasi perlombongan berkenaan.
Menurut beliau, sebanyak 305 mesin bitcoin bersama bekalan kuasa dianggarkan bernilai RM610,000 turut dirampas.
"Serbuan pertama di premis di Jalan Kampung Changkat Banjar berjaya merampas 90 set mesin bitcoin bersama bekalan kuasa dan serbuan di Taman Melor Sejati pula merampas 96 set mesin bitcoin bersama bekalan kuasa.
"Serbuan ketiga melibatkan sebuah premis di Hutan Melintang dan kita berjaya merampas 119 set mesin bitcoin bersama bekalan kuasa,” katanya
Kata Ahmad Adnan, pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis terbabit bagi membantu siasatan.
"Semasa serbuan dijalankan, polis mendapati semua premis tiada penghuni dan ditinggalkan kosong. Hanya peralatan bitcoin saja dijumpai.
"Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi lebih sebulan lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!