KUBC tidak mahu terlalu yakin harungi ACPLJ
PENGURUS pasukan Kajang United BC (KUBC), Wong Heng Wai berharap pasukan berkenaan tidak terlalu yakin bagi mengharungi pusingan akhir AEON Credit Purple League Junior 2021/2022 (ACPLJ) yang dijadualkan berlangsung di House Of Champions, Gem In Mall Cyberjaya, Ahad ini.
Menurutnya, KUBC perlu menghormati pasukan lain pada pusingan akhir berikutan kesemua pasukan merupakan pasukan terbaik dan telah melepasi pusingan kelayakan sebelum ini.
“Saya tidak mahu pasukan ini terlalu yakin memandangkan kami belum lagi berdepan cabaran sebenar dan lawan yang kuat.
“Oleh itu kami juga menghormati semua pasukan kerana mereka telah beraksi dengan konsisten dan berupaya untuk mencabar kejuaraan. Bagaimanapun, kami telah bersedia untuk meraih kejuaraan pada edisi kali ini,” katanya.
Sebanyak 12 pasukan terbaik berjaya mengesahkan slot mereka di pusingan akhir setelah mengharungi pusingan kelayakan di tiga lokasi melibatkan Melaka, Kampar dan Cheras.
Kesemua pasukan berkenaan akan berentap dalam format kalah mati dengan empat pasukan berdepan laluan mudah apabila mara ke suku akhir secara automatik hasil undian yang dijalankan hujung Januari lalu.
Untuk rekod KUBC adalah antara pasukan pilihan pada pusingan akhir berkenaan setelah tampil garang membelasah Jinjang BC, 15-1 dan Sentul BC 15-0 duntuk muncul juara kumpulan.
Kini KUBC hanya menanti pemenang antara Ampang Jaya BC (AFBC) atau Rawang BC (RBC).
Pusingan akhir minggu ini akan dijalankan secara format kalah mati dengan 12 pasukan terbaik kedua-dua kategori bawah-18 dan 15 tahun akan berentap merebut kejuaraan dengan juara bagi kategori bawah-18 tahun akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 manakala RM5,000 bagi juara kategori bawah-15 tahun.
Sementara itu Ketua Pegawai Operasi (COO) MPL, Ho Khek Mong, kesemua pasukan yang beraksi pada edisi kali ini mempamerkan aksi konsisten.
Katanya, senario berkenaan secara tidak langsung menjadi antara faktor menarik bagi menyaksikan kesemua pasukan berkenaan beraksi pada pusingan akhir minggu ini.
“Kesemua pasukan mempamerkan aksi konsisten, malah ada beberapa pasukan yang dilihat ‘sangat konsisten’ terutamanya pasukan yang memiliki pemain muda berbakat dan berpotensi.
“Oleh itu, saya tidak sabar untuk menyaksikan pasukan-pasukan terbaik itu berentap di pusingan akhir minggu ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!