Ahli Parlimen Tumpat beri subsidi RM5 beli daging lembu Charoley

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli daging lembu Charoley dengan harga subsidi di jualan Keluarga Malaysia di SK Frozen Sdn Bhd pada Jumaat.
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli daging lembu Charoley dengan harga subsidi di jualan Keluarga Malaysia di SK Frozen Sdn Bhd pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Penduduk di kawasan Wakaf Bharu, Tumpat di sini berpeluang membeli daging lembu Charoley dengan lebih murah apabila menerima subsidi RM5 sekilogram (kg) bagi daging berkenaan.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, subsidi berkenaan disumbangkan beliau bagi meringankan bebanan penduduk kampung bagi mendapatkan daging itu melalui jualan Keluarga Malaysia di SK Frozen Sdn Bhd di sini.

"Sebelum ini kita beli sekilogram daging dengan harga RM32, tapi hari ini saya bagi subsidi RM5, maka mereka (pembeli) perlu bayar RM27 sahaja. Kita guna lembu jenis Charoley yang besar dengan nilai subsidi RM10,000 untuk seekor.

"Insya-ALLAH kita tumbangkan seekor pada Jumaat dan seekor lagi pada hari Sabtu. Semoga ia dapat memberi peluang kepada penduduk untuk membeli barangan yang dijual di pasar raya berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Jualan Keluarga Malaysia berkenaan diadakan selama dua hari iaitu pada Jumaat dan Sabtu dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Menurutnya, jualan Keluarga Malaysia yang diadakan di kawasan berkenaan merupakan program keempat sejak ia dilaksanakan baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat diseru menggunakan sebaik mungkin peluang yang ada untuk membeli barangan keperluan dapur dengan harga yang berpatutan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Siti Amiria Awang, 50, teruja untuk membeli barangan yang disediakan di pasar raya berkenaan memandangkan ia lebih murah daripada biasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keperluan asas seperti minyak masak dan telur juga dijual dengan harga standard berbanding peningkatan yang berlaku sebelum ini.

"Alhamdulillah kami dapat beli minyak, gula, milo dan telur tadi. Ia untuk keperluan kami berempat di rumah. Sebelum ini payah dapatkan bekalan minyak, harapnya selepas ini ia akan kembali normal,"katanya.

Dalam pada itu, Azman Abdul Razi, 52, pula berkongsi, dia turut membeli sekilogram daging lembu yang disubsidikan Che Abdullah semasa kunjungan ke jualan berkenaan bagi merasa sendiri keenakan daging lembu besar itu.

Katanya, sebelum ini dia tidak berkesempatan untuk mencuba memandangkan harga lembu juga tidak stabil di pasaran menjadikan pasaran lembu besar tersebut jarang ditemui.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!