Jawi buka pusat khidmat nasihat kekeluargaan di tiga masjid
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melancarkan Program Masjid Sebagai Pusat Khidmat Nasihat serta Rundingcara Kekeluargaan dan Sosial di Masjid Al-Muqarrabin Bandar Tasik Selatan, di sini pada Jumaat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad diiringi Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Mohd Fadzil Abu Kasim.
Jawi dalam satu kenyataan berkata, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid al-Muqarrabin Bandar Tasik Selatan dan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati merupakan tiga masjid yang dipilih menjayakan inisiatif terbaharu itu.
Menurut kenyataan itu, sembilan fasilitator berpengalaman dilantik oleh Jawi untuk mengendalikan khidmat nasihat kekeluargaan dan isu sosial di pusat tersebut.
"Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan berkenaan secara percuma melalui 'walk in' atau berdasarkan temu janji yang telah ditetapkan", menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, Jawi sebelum ini telah melancarkan lima Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) dan Anjung Khidmat Keluarga Jawi (Akuaja) di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang turut menawarkan kemudahan sama.
Jelas kenyataan itu, pusat itu terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral, UTC Mini Keramat, Masjid Usamah Bin Zaid Wangsa Maju, Surau Al-Iman Presint 9 dan Surau Al-Furqan Presint 11, Putrajaya.
"Inisiatif tersebut bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan merangkumi kerohanian dan keilmuan, ekonomi, sosial serta kekeluargaan bagi membantu mendepani pelbagai tekanan dan cabaran hidup.
"Ini selaras dengan Inisiatif Mantap yang diperkenalkan oleh menteri bertujuan memantapkan institusi keluarga, sosial dan komuniti Islam serta selari dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020 hingga 2024," tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!