Manfaatkan kepakaran, jalin kerjasama strategik akademia dan industri
KUALA LUMPUR - Kerajaan menggesa semua pihak untuk mengambil peluang mencipta dan berinovasi dengan memanfaatkan kepakaran serta menjalin kerjasama strategik antara akademia dan industri.
Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata usaha kolaboratif tersebut dapat menggalakkan inovasi berasaskan permintaan industri dalam memacu peningkatan produktiviti serta mengukuhkan pembangunan ekonomi Malaysia.
"Pandemik Covid-19 telah menimbulkan pelbagai isu termasuk proses pelaksanaan pendidikan di seluruh dunia termasuk Malaysia.
"Ini bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran konvensional tertangguh, bahkan tugasan guru dan pensyarah semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses terbabit dilaksanakan secara dalam talian," katanya.
Beliau berucap pada majlis apresiasi dan pelancaran kursus Pensijilan Perbankan dan Kewangan Islam bagi Pengamal Undang-Undang (CIBFL) dengan kerjasama Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.
Mohd Shahar berkata dalam alaf baharu yang mengutamakan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, orang ramai tiada pilihan selain memanfaatkan teknologi dan aplikasi pendidikan dalam talian.
Malah, katanya, konteks pendidikan masa kini memerlukan guru dan pensyarah untuk menguasai serta celik teknologi komunikasi dan maklumat.
"Meskipun masih dibelenggu ketidakpastian, dunia pendidikan pasca-Covid-19 akan beroperasi dalam persekitaran yang berbeza. Kita perlu mencari solusi lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang dan perlu melangkah ke arah keadaan normal seterusnya’," katanya.
Mohd Shahar berkata sektor pendidikan turut menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022 iaitu sebanyak RM52.6 bilion.
Sehubungan itu, beliau berharap sektor terbabit dapat meningkatkan standard kualitinya setanding dengan negara-negara maju.
"Apa yang paling penting adalah perlu bergerak seiring dengan momentum pasca pandemik yang seterusnya memberi manfaat kepada modal insan negara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!