AMPANG - Seorang remaja 15 tahun yang didakwa merogol teman wanita berusia 14 tahun sehingga mengandung ditahan di sekitar Pandan Indah, di sini pada Khamis. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ibu mangsa hanya menyedari anaknya itu mengandung pada 13 Februari lalu. "Pada pertengahan bulan Disember 2021 mangsa seorang pelajar perempuan berusia 14 telah berjumpa dengan teman lelakinya (suspek) di Pandan Indah. "Dalam perjumpaan berkenaan, suspek didakwa telah merogol mangsa sebanyak dua kali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang pelajar direman tiga hari bermula Jumaat. "Kes telah disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," ujarnya.