Anwar gesa SPR lanjut pendaftaran undi pos pengundi di Singapura
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanjutkan tempoh pendaftaran undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 kepada pengundi yang berada di Singapura.
Beliau berkata, usaha dilakukan SPR dalam isu undi pos membabitkan ratusan ribu pengundi warga negara Malaysia yang berada di republik itu disifatkan sebagai gagal.
Dakwanya, ketiadaan sebarang ikhtiar tambahan daripada badan tersebut juga menunjukkan seolah-olah terdapat muslihat tertentu untuk mengurangkan minat mengundi rakyat Malaysia yang berada di negara jiran itu.
“Sekadar pengumuman dan tidak ada ikhtiar tambahan seolah-olah ada suatu muslihat dengan mana-mana pihak untuk mengurangkan minat (iaitu) pertama tidak membenarkan mereka pulang mengundi dan keduanya tidak membantu secara agresif untuk membolehkan mereka mengundi.
“Maka oleh yang demikian kalau SPR itu mewakili satu institusi yang menginginkan rakyat majoriti mengundi, mereka harus menambah hari dan melanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos.
“Keduanya, mengambil langkah tambahan untuk mengirim wakil ke Singapura membantu proses tersebut,” katanya dalam satu video ringkas yang dikongsikan di Facebooknya pada Jumaat.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada 9 Februari lalu memaklumkan bahawa permohonan undi pos secara dalam talian termasuk kepada warga negara yang bekerja di Singapura dan layak mengundi pada PRN Johor dibuka bermula Rabu hingga 24 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!