Budak 5 tahun jatuh dalam telaga meninggal dunia

Gambar bertarikh 17 Februari menunjukkan penduduk berkumpul ketika operasi menyelamat dilakukan terhadap seorang budak yang terjatuh ke dalam telaga di Shokak. - Foto AFP
Gambar bertarikh 17 Februari menunjukkan penduduk berkumpul ketika operasi menyelamat dilakukan terhadap seorang budak yang terjatuh ke dalam telaga di Shokak. - Foto AFP
A
A
A

KANDAHAR - Seorang budak lelaki berusia lima tahun yang terperangkap selama tiga hari di dalam telaga di sebuah kampung terpencil di Afghanistan meninggal dunia, kata beberapa pegawai pada Jumaat.

Budak lelaki itu yang dikenali sebagai Haidar pada mulanya berjaya ditarik hidup-hidup dari telaga tersebut, bagaimanapun dia kemudian meninggal dunia.

Dia terjatuh ke dalam telaga tersebut pada Selasa di Shokak, sebuah kampung di wilayah Zabul, sekitar 400 kilometer di barat daya Kabul.

"Dengan kesedihan yang amat sangat, Haidar dipisahkan dari kami buat selama-lamanya," menurut ciapan penasihat kanan Kementerian Dalam Negeri Taliban, Anas Haqqani menerusi Twitter.

Jurucakap polis Zabul, Zabiullah Jawhar memberitahu AFP bahawa Haidar masih hidup ketika diselamatkan.

"Pada minit pertama selepas operasi menyelamat selesai, dia masih bernafas dan pasukan perubatan memberikannya oksigen.

"Apabila pasukan perubatan cuba membawanya ke helikopter, dia kehilangan nyawanya," ujarnya.

Operasi menyelamat tersebut berlaku dua minggu selepas percubaan yang sama untuk menyelamatkan seorang budak lelaki Maghribi tetapi berakhir dengan kematian.

Artikel Berkaitan:

Datuk Haidar, Abdul Hadi yang berusia 50 tahun memberitahu AFP bahawa kanak-kanak lelaki itu jatuh ke dalam telaga ketika dia cuba untuk 'membantu' orang dewasa menggali lubang baharu di kampung berkenaan yang dilanda kemarau.

Dia tergelincir ke dalam lubang sedalam 25 meter dan ditarik oleh tali setinggi kira-kira 10 meter sebelum terperangkap. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!