Warga Serdang, Seri Kembangan bergelap 14 jam
Menerusi kenyataan dimuat naik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline di akaun Faceebok rasminya, pihak itu memberitahu gangguan berlaku disebabkan masalah teknikal di Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Raya pada jam 3.56 petang, semalam.
Menurut kenyataan itu, bekalan elektrik akan dipulihkan secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 2 petang, hari ini.
Katanya, antara kawasan yang terlibat adalah Taman Sri Serdang, Taman Putera Indah, Taman Bukit Serdang, Taman Serdang Perdana, Taman Sri Serdang, Taman Perindustrian Bukit Serdang, Taman Serdang Raya dan Taman Sri Andalas.
“Pasukan teknikal kami telah pun berada di kawasan-kawasan tersebut untuk memulihkan bekalan secepat mungkin.
“Kami mohon maaf atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.
Pihak TNB Careline memaklumkan setakat jam 9 pagi ini, bekalan dipulihkan di 114 dari 172 pencawang elektrik yang terlibat dengan gangguan bekalan sekitar kawasan Serdang Raya.
Menurutnya, janakuasa mudah alih dihantar ke baki 58 pencawang elektrik di kawasan perumahan dan perindustrian untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan tersebut secepat mungkin.
“Atas faktor keselamatan dan kerosakan yang serius, pasukan teknikal kami sedang mengambil segala langkah yang perlu untuk membaiki kerosakan dan memulihkan bekalan dengan kadar segera.
“Sementara kerja-kerja membaik pulih dilaksanakan, kami telah menghantar 175 set janakuasa mudah alih dari seluruh negara untuk memberikan bekalan elektrik sementara kepada semua pengguna di kawasan-kawasan yang terlibat.
“Bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 2 petang hari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!