Zahid sedih nama bapa dipermainkan dalam ceramah PN

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedih nama bapanya dipermainkan dalam ceramah politik Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata, sebagai insan biasa tentunya beliau mempunyai hati dan perasaan untuk berasa terguris dan kecewa.

“Ramai yang bertanya apakah saya tidak marah dengan kata-kata yang dilemparkan secara semborono oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam ceramah politiknya?

“Apakah saya tidak geram dengan perbuatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempermainkan nama bapa saya untuk ditertawakan oleh penyokong PN?

“Saya juga seperti anda semua anak kepada seorang ayah, Allahyarham Haji Raden Hamidi Bin Haji Raden Abdul Fateh bapa yang sangat saya kasihi dan sayangi.

“Ayuh rakyat Malaysia janganlah kita seperti itu hanya kerana berbeda pendirian politik sehingga pupus nilai kemanusiaan dan kesopanan sesama kita," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Pengerusi PN itu mempermainkan nama bapanya dalam satu ceramah di Tenggaroh, Johor baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zahid, isu berkenaan tidak boleh disamakan dengan pendedahannya tentang nama sebenar seorang pemimpin politik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa tahun lalu.

“Saya seterusnya menyatakan dari lubuk hati yang paling dalam, saya sebenarnya berasa simpati dengan beliau.

Artikel Berkaitan:

“Simpati melihat karakternya yang sedang amat tertekan, terdesak dan keresahan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga meroyan dan meranyah sebegitu buruk.

“Setiap insan memiliki hati sama-samalah kita mendoakan Tan Sri Muhyiddin Yasin sentiasa diberi kesihatan yang baik oleh ALLAH SWT,” katanya.

Mengenai dakwaan beliau marah kerana Muhyiddin tidak mahu melepaskan kes mahkamah, Ahmad Zahid menjelaskan, jika benar pastinya Muhyiddin tidak mampu menjadi Perdana Menteri sehingga 17 bulan lamanya.

“Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pasti sudah lama Malaysia berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Malah saya cekal menghadapi pendakwaan terpilih yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap saya di atas prinsip berani kerana benar.

“Tidak sesekali saya sanggup menggadaikan UMNO apatah melompat parti mahu pun berselingkuh dengan musuh untuk mengelak daripada didakwa.

"Jika mahu terlepas daripada pendakwaan terpilih barangkali harus saja saya mengabaikan mandat akar umbi UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu. Tetapi haruskah saya melanggar amanah itu?" jelasnya.

Tambahnya lagi, seseorang yang yakin dirinya tidak bersalah satu-satunya yang diharapkan hanyalah perbicaraan yang adil dan saksama.

“Sebenarnya kita harus berasa sangsi dengan dakwaan yang dibuat oleh seseorang yang telah terbukti mampu untuk berbohong dan memutar belit apa sahaja demi kuasa.

“Sehingga sanggup memuta rbelit titah Yang di-Pertuan Agong tentang Ordinan Darurat untuk berbohong kepada Parlimen, malah tergamak menipu nama sebenar," katanya.

Beliau mendakwa, bekas perdana menteri itu juga sanggup merancang ‘scheme of things’ yang melanggar undang-undang dan prinsip demokrasi bagi 'membeli' sokongan wakil rakyat supaya bertambah berkuasa.

“Sanggup menawarkan sogokan secara terbuka di kaca televisyen kepada ahli Parlimen supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri.

“Saksikan sekutu politiknya sendiri semasa PRU14 yang kemudian menjadi seteru selepas berpecah turut berdepan pendakwaan semasa beliau memegang kuasa Perdana Menteri.

"Tetapi percayalah sikap 'angkat bakul' Muhyiddin dan kutukannya terhadap saya serta nama bapa saya bukan nilai sebenar Bangsa Johor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!