PM peroleh injunksi terhadap artikel portal Agenda Daily

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, agar portal Agenda Daily Media Enterprise memadamkan artikel yang didakwa memfitnahnya.

Ia adalah membabitkan artikel bertajuk 'Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan'.

Melalui perintah injunksi sebelah pihak (ex-parte), Ismail Sabri selaku plaintif juga berjaya mendapatkan perintah supaya pemilik portal itu, Muhamad Izwan Mohd Zubit, 37, atau mana-mana ejennya untuk tidak mengulangi atau menyiarkan semula artikel atau kenyataan berbaur fitnah mengenai Perdana Menteri.

Perintah itu diperoleh Ismail selaku plaintif dalam kes saman fitnah terhadap Muhamad Izwan yang dinamakan sebagai defendan dan difailkan pada Khamis.

Mahkamah juga memerintahkan portal itu, tidak membuat kenyataan yang membayangkan Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai perdana menteri, dan bahawa beliau ‘rayu’ atau akan ‘rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan terhadapnya.

Peguam, Joshua Tan yang mewakili Ahli Parlimen Bera itu berkata, perintah berkenaan dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Evrol Mariette Peters.

Katanya, perintah berkenaan akan berkuat kuasa sehingga 21 hari selanjutnya.

“Mahkamah menetapkan 4 Mac depan untuk pendengaran inter-parte,” katanya ketika dihubungi media, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Ismail Sabri, 62, berkata, pada 30 Januari lalu, Agenda Daily telah menerbitkan artikel yang bertajuk 'Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, 'rayu' jangan tarik sokongan' di dalam laman webnya.

Ismail Sabri berkata, artikel itu jika dibaca secara keseluruhannya, mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah tidak benar berhubung dirinya.

Selain itu, Ismail Sabri mendakwa artikel itu turut menggambarkan beliau sebagai seorang yang mementingkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berbanding kepentingan Malaysia, rakyatnya dan parti politik UMNO.

Artikel itu juga didakwa dibuat dengan niat jahat bagi menjatuhkan reputasinya sebagai Perdana Menteri dan ahli partinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!