Isu integriti lima pegawai Mara: Siasatan SPRM sudah lengkap
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan isu integriti dan salah guna kedudukan membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Menurut laporan portal Astro Awani pada Jumaat, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan seramai 30 saksi termasuk Ahli Lembaga Pengarah Mara Corporation (Mara Corp), pengurusan Mara dan pegawai bank telah dipanggil untuk direkodkan keterangan sepanjang siasatan dijalankan.
Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan pada minggu hadapan bagi penelitian dan keputusan.
"Setakat ini kita telah mengambil keterangan berkaitan dengan salah laku jenayah terhadap lima pegawai. Dalam taklimat kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan minggu depan, kita akan mengesyorkan cadangan hasil daripada dapatan keterangan untuk penelitian dan keputusan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, sepasukan pegawai SPRM menyerbu tiga pejabat berkaitan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu bagi membantu siasatan.
Pendedahan mengenai salah guna kuasa itu dibuat pemilik akaun Twitter @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.
Surat bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corp, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Dun.
Isi kandungan surat itu menyatakan laporan penuh adalah seperti yang diarahkan oleh Azizah yang meminta supaya siasatan terperinci dibuat oleh bahagian integriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!