Soul Fitness 2022: Ultimate Happiness bincang erti bahagia yang sempurna
SHAH ALAM - Program Soul Fitness 2022: Ultimate happiness yang dianjurkan Gabungan Persatuan Alumni Sekolah Berasrama Penuh (GPASBP) pada Jumaat membincangkan topik mencari kebahagiaan yang sempurna.
Program anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disiarkan secara langsung dari Studio F, Kompleks Karangkraf itu bertadabur surah Al-Sajdah ayat satu hingga 15 sebagai panduan perbincangan berfokuskan kebahagiaan sebenar di dalam Islam.
Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, erti kebahagiaan yang sempurna tidak wujud di dunia namun ALLAH SWT menyatakan dalam surah Hud ayat 108 sebagai 'saadah' yang hanya boleh dikecapi ketika di alam syurga.
"Di dunia kita kena memburu kebahagiaan yang diusahakan di sini (dunia) tetapi hanya dikecapi apabila di syurga," katanya ketika menjadi panelis pada program berkenaan yang turut disiarkan secara langsung di YouTube dan Facebook TickTalk TV, QuranHour, Sinar Harian dan GPASBP.
Turut menjadi panelis adalah perunding motivasi, Halim Hafidz dan qari, Jalal Zaiki manakala Sansubari Che Mud bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu Fazrul turut merujuk ayat ke-77 surah Al-Qasas yang mengajak manusia mencari pahala menuju alam akhirat.
"ALLAH kata carilah akhirat dengan bersungguh-sungguh, ada orang cari duit kerana dunia, ada orang cari duit untuk diinfaqkan bagi keredaan ALLAH.
"Dalam masa sama ALLAH kata, jangan lupakan bahagian di dunia tapi pastikan ia mendekatkan kita dengan akhirat, syurga ALLAH," katanya.
Sementara itu perunding motivasi, Halim Hafidz berkata, erti kebahagiaan bersifat subjektif dan mengikut kemahuan masing-masing.
Namun katanya, kebahagiaan mengikut Islam harus dikaitkan dengan kesyukuran kepada ALLAH.
"Maka kita tidak boleh langsung takbur dan membesarkan diri dengan ALLAH, kita mesti mengembalikan rasa gembira itu kepadaNya.
"Contoh apabila mendapat hidayah yang hanya berlaku kepada golongan yang rapat dengan ALLAH, seperti yang berlaku kepada Rabiatul Adawiyah.
"Apabila dia bermunajat di hadapan ALLAH dan mengatakan aku bukan mahu reda Mu, aku bukan nak hidayah Mu, aku bukan nak maghfirah Mu, tetapi aku nak Kau, ALLAH. Itu kebahagiaan yang dia cari," katanya.
Dalam pada itu Jalal berkata, fitrah manusia secara automatik akan mencari Tuhan apabila diberi ujian, musibah atau ketika mereka rasa 'hilang'."Bagi orang Islam yang kurang amalan, maka kita akan mencari sejadah supaya kita dapat mendekatakan diri dengan ALLAH, masa itu rasa nak bertaubat dan minta pertolongan. Agama lain juga begitu (dekatkan diri dengan Tuhan) mengikut pegangan mereka.
"Kita tidak lari diberi ujian sedemikian dan masa itu lumrahnya kita akan mencari Tuhan, dalam ayat ini (Al-Sajdah), kita akan bersujud, bertasbih kepada ALLAH (akan) memberikan kebahagiaan sementara di dunia semasa sedang gelisah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!