Peniaga bersedia jika pintu sempadan dibuka

Pintu masuk utama Malaysia-Thailand di Rantau Panjang lengang sejak bermulanya pandemik Covid-19.
Pintu masuk utama Malaysia-Thailand di Rantau Panjang lengang sejak bermulanya pandemik Covid-19.
A
A
A

TUMPAT - Pembukaan semula pintu sempadan amat dinantikan terutamanya untuk merancakkan kembali perkembangan ekonomi dua hala antara negara.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor di sini mendapati rata-rata pengunjung di kawasan berkenaan adalah mereka yang terdiri daripada pelancong domestik.

Seorang peniaga, Suhaini Abdul Kadir, 38 memberitahu, jika kerajaan membuka pintu sempadan, ia bakal memberi sinar baharu kepada mereka untuk bertatih kembali selepas menutup perniagaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Katanya, kini hanya pelancong dalam negara sahaja yang berkunjung terutamanya di hari cuti umum atau cuti mingguan.

Norazimah berharap kegiatan ekonomi kedua-dua negara kembali rancak selepas ini.
Norazimah berharap kegiatan ekonomi kedua-dua negara kembali rancak selepas ini.

"Kami berharap juga pintu sempadan ini dibuka dengan sebaik mungkin. Memang kita tahu sekarang ini kita kena hidup dengan Covid-19, Insya-Allah kami sebagai peniaga sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) masing-masing," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Harnoni Abdul Kadir, 40 pula memberitahu, sebelum ini kedainya sering dikunjungi masyarakat dari seberang Takbai untuk mendapatkan pelbagai barangan, namun kini mereka hanya bergantung harap pada pembeli tempatan sahaja.

Katanya, dengan persediaan yang dilakukan peniaga-peniaga di kawasan itu, dia yakin pembukaan sempadan nanti tidak akan menyebabkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 jika semua pihak tahu menjaga diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

Suhaini dan rakan-rakan peniaga yang lain sudah mengambil vaksinasi masing-masing terutamanya untuk urusan perniagaan dan sebagainya.
Suhaini dan rakan-rakan peniaga yang lain sudah mengambil vaksinasi masing-masing terutamanya untuk urusan perniagaan dan sebagainya.

"Kita kena ketatkan SOP, lakukan beberapa perancangan teliti terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai. Jangan ada yang ambil remeh perkara ini. Kita tidak mahu kembali kepada PKP yang pertama dulu. Apa yang penting, semua pihak perlu bekerjasama," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, tinjauan Sinar Harian di pekan Rantau Panjang pula menunjukkan kedai-kedai pakaian masih dibuka seperti biasa walaupun hanya menerima pengunjung domestik.

Seorang peniaga, Norazimah Abdul Ghani, 35, ketika ditemui memberitahu, perniagaan mereka di kawasan berkenaan berjalan seperti biasa dan rata-ratanya sudah menerima dos penggalak Covid-19.

Katanya, jika pintu sempadan kembali dibuka, ia akan merancakkan kembali sektor perniagaan antara dua negara memandangkan rakyat Thailand juga sering berkunjung ke Rantau Panjang untuk mendapatkan pelbagai jenis barangan terutamanya pakaian.

Rata-rata pengunjung di kawasan pekan Rantau Panjang adalah pelancong domestik.
Rata-rata pengunjung di kawasan pekan Rantau Panjang adalah pelancong domestik.

"Kalau pintu buka, memang ramailah akan datang. Mereka suka beli barangan Malaysia. Sama juga dengan kita, ada beberapa barangan dari Thailand juga boleh dijual di sini.

"Namun dalam keadaan sekarang ini, hubungan dua hala ini terencat seketika. Kita berharap ia dapat kembali dibuka sebaiknya. Apa yang penting kedua-dua negara mendapat manfaat dari apa yang kerajaan lakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!