Selamat bertugas Pan Gon, demi lencana di dada

Pan Gon (tengah) bersama barisan para jurulatih pada sidang media memperkenalkan jurulatih baharu Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya pada Khamis. Foto Bernama
Pan Gon (tengah) bersama barisan para jurulatih pada sidang media memperkenalkan jurulatih baharu Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KIM Pan Gon dan barisan kejurulatihannya secara rasmi menampilkan kelibat masing-masing dalam sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya Petaling Jaya pada Khamis dengan keazaman memartabatkan kembali Harimau Malaya dalam misi menggegarkan kembali pentas bola sepak antarabangsa selepas tenggelam sekian lama.

Keazaman bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea Selatan itu untuk melakukan transformasi terhadap skuad Harimau Malaya bukan omong-omong kosong yang ditemani penolong jurulatih, Pau Marti Vicente; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Dr Gokhan Kandemir dan jurulatih analisis prestasi pasukan, Lim Jaehun, apatah lagi beliau lebih awal mengakui boleh sahaja bersama Korea Selatan di Piala Dunia Qatar 2022 tahun ini.

Malah pengendali berusia 53 tahun itu menegaskan akan menggunakan acuan tersendiri dalam membentuk semula kekuatan Harimau Malaya kendalian bekas pengendali Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan awal Januari lalu selepas mengambil tanggungjawab atas prestasi hambar anak buahnya di Kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura sebelum ini, tanpa berpaksi kejayaan dicipta rakan senegara Shin Tae Yong di Indonesia dan Park Hang Seo di Vietnam.

Namun demi menyahut cabaran dalam menjayakan merevolusikan Harimau Malaya yang gagal dilakukan pengendali import terakhir dari Portugal, Nelo Vingada pada 2017, Pan-gon juga sesungguhnya menyelitkan pesanan beliau dan pasukannya memerlukan tempoh masa - merupakan perkara asas dalam menghasilkan keputusan positif - untuk menampilkan persembahan pasukan kebangsaan yang lebih berkualiti.

Biarpun begitu atmosfera komuniti bola sepak Malaysia ini sebenarnya amat sensitif apabila memperkatakan elemen mengenai masa baik dalam kalangan kelab saingan Liga Malaysia (Liga-M) mahupun pasukan kebangsaan yang sesungguhnya perkara menjadi keutamaan adalah keputusan sepanjang tempoh tersebut.

Malah pada satu tahap boleh dikatakan dalam kalangan komuniti dan jemaah bola sepak yang akan menjadi penentu kelangsungan khidmat seseorang ketua jurulatih tidak terkecuali Pan-gon dalam sesebuah pasukan atau kelab apabila meletakkan keputusan setiap perlawanan semasa sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).

Vingada atau The Professor sebelum ini dilantik secara rasmi sebagai pengendali Harimau Malaya pada 15 Mei 2017 - dibantu penolong jurulatih, Joao Arnaldo Correia de Carvalho dan jurulatih kecergasan, Francisco Jose Bruto da Costa - hanya bertahan selama enam bulan sebelum melepaskan jawatan pada 6 Disember 2017.

Keputusan serta-merta Vingada pengendali yang memulakan karier sebagai pemain bersama kelab Portugal seperti Atletico Club, Sintrense dan Belenenses selain mengendalikan pasukan Arab Saudi, Jordon, Olimpik Portugal, Olimpik Mesir, Olimpik Iran dan beberapa kelab atas dasar tanggungjawab selepas Harimau Malaya gagal memenangi sebarang perlawanan dalam tujuh perlawanan - satu seri, enam tewas.

Artikel Berkaitan:

Kini gelanggang untuk Pan-gon mengemudi Harimau Malaya telah dibuka seluas-luasnya yang pasti tumpuan komuniti sukan paling popular dunia tersebut adalah pentas pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, apatah lagi Malaysia dipilih sebagai antara negara tuan rumah bagi aksi peringkat kumpulan yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 14 Jun depan.

Namun ujian pertama yang perlu diharungi Pan-gon adalah mengemudi Harimau Malaya berdepan dua pasukan negara Asia Tenggara, Filipina dan Singapura dalam perlawanan persahabatan pemanas badan menjelang kempen kelayakan tersebut.

Sesungguhnya, perlawanan berdepan The Azkals pada 23 Mac diikuti menentang The Lions (26 Mac) akan menjadi aksi kompetitif pertama buat Pan-gon yang akan diberikan sepenuh tumpuan dalam kalangan komuniti bola sepak negara bagi melihat keberhasilan revolusi dilakukan pengendali tersebut.

Selamat bertugas buat Pan-gon dan pasukan kejurulatihan Harimau Malaya demi lencana di dada...Tanah tumpah darahku...

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!