Dadah rangsang penagih untuk membunuh
SHAH ALAM - Tragedi menyayat hati menimpa seorang ibu yang menjadi mangsa kekejaman anak kandung sendiri apabila dipenggal kepalanya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 16 Januari lalu membuka mata banyak pihak betapa seriusnya gejala penagihan dadah di Malaysia.
Seorang ibu tua yang tidak menyangka menjadi mangsa anaknya itu, dipercayai dibunuh ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.
Siasatan yang dijalankan pihak polis mendapati laporan awal ujian air kencing, suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
Kejadian tersebut mengimbas semula beberapa kejadian pernah berlaku sebelum ini akibat penagihan dadah.
Sekitar 2018, seorang lelaki maut ditetak beberapa kali dengan parang oleh anaknya yang dipercayai penagih dadah di sebuah rumah di Batu 4 1/2 Jalan Padang Melangit, Padang Besar, Perlis.
Mangsa yang merupakan seorang kontraktor itu ditetak anaknya selepas tidak berpuas hati kerana gagal memperoleh wang membeli dadah.
Pelbagai kejadian melibatkan suspek yang merupakan penagih menunjukkan bahawa dadah adalah pendorong utama berlakunya sesuatu jenayah.
Timbalan Pengerusi Skuad Anti Dadah Pulau Pinang, Mohammad Shukri Che Wang berkata, isu berkaitan dadah bukan perkara baharu di Malaysia.
“Masalah penagihan dadah sudah lama bertapak di negara ini dan ia diibaratkan seperti barah yang memberi kesan kepada semua pihak.
“Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan penyalahgunaan dadah ini diperangi sepenuhnya, baik masyarakat atau pihak berkuasa.
“Masing-masing memainkan peranan memerangi dadah sehinggakan kalau kita masih ingat, antara ayat yang sering digunakan ialah dadah musuh nombor satu negara,” jelas beliau.
Dadah sintetik pendorong berlaku jenayah
Penagihan dadah jenis sintetik misalnya menjadi pendorong utama kebanyakan penagih bertindak lebih berani dan luar kawalan.
Menurut Mohammad Shukri, pengambilan dadah sintetik adalah antara faktor utama berlakunya kes melibatkan jenayah kejam baru-baru ini.
“Dadah ini terbahagi kepada dua iaitu dadah konvensional dan dadah jenis sintetik. Kesan pengambilan dadah jenis sintetik ini lebih memberikan kesan buruk kepada penagih.
“Penagih akan menjadi tidak keruan dan kadangkala akan menjadi lebih agresif sehinggakan ada kejadian yang kita lihat berlaku, misalnya anak penggal kepala ibu dan lain-lain kes jenayah tidak terjangkau oleh akal yang waras,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Jelas beliau, dadah sintetik terutamanya syabu merembeskan neurotransmiter dopamin iaitu sejenis bahan kimia yang merangsang sel-sel otak, sekali gus ‘melimpahi’ penagih dengan perasaan begitu menyeronokkan.
“la juga mempunyai kesan neurotoksik yang memusnahkan sel-sel otak yang turut mengandungi serotonin, sejenis neurotransmiter lain.
“Lama-kelamaan, dadah ini akan menyebabkan paras dopamin yang terus berkurangan dan menyebabkan penagih mengalami gangguan pergerakan yang teruk,” jelas Mohammad Shukri.
Tambah beliau, syabu juga boleh menimbulkan keghairahan seksual atau mendorong nafsu yang kuat, menjadikan penggunanya seorang perogol.
“Selain itu, mereka yang mengambilnya akan jadi lebih berani dan sanggup melakukan jenayah seperti rompakan mahupun pembunuhan tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Serius saya katakan, banyak kejadian pembunuhan kejam termasuk kes bunuh melibatkan ahli keluarga dan rakan terdekat, suspek selalunya penagih syabu. Kerana apa? Kerana dadah ini boleh membuatkan mereka terlebih berani.
“Ini berlaku kerana syabu meninggalkan kesan cukup kuat ke atas saraf otak hingga mereka menjadi agresif dan tak mampu lagi berfikir secara waras,” katanya.
Tumpu usaha cegah terjebak dadah sejak dari sekolah
Menurut Mohammad Shukri, masalah ketagihan dadah kebanyakannya bermula dari peringkat awal iaitu di rumah.
Katanya, terdapat kes penagihan dadah melibatkan remaja seawal usia 13 tahun.
“Ada kes yang dikesan, ketagihan bermula sejak di bangku sekolah lagi dan faktor keluarga adalah antara menjadi penyebab ia berlaku.
“Kehidupan keluarga bermasalah, ada antara ayah dan ibu merupakan penagih serta kurangnya didikan agama adalah faktor-faktor yang kita kesan menjadi penyebab remaja terlibat dadah,” ujar beliau lagi.
Mohammad Shukri berkata, dalam soal itu, penekanan terhadap bahana penyalahgunaan dadah perlu diterapkan sejak sekolah lagi.
“Ceramah berkaitan penyalahgunaan dadah perlu dipertingkatkan dan pada masa sama penerangan oleh agensi bertanggungjawab berkaitan dadah perlu dilaksanakan lebih kerap di sekolah.
“Apa yang kita mahukan adalah mendidik jiwa anak-anak tentang bahayanya penyalahgunaan dadah, bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri, malah kepada keluarga, masyarakat dan negara,” tegas beliau.
HAPUSKAN PENGEDARAN DADAH
Menurutnya, usaha memastikan dadah dapat dibanteras sehabis mungkin adalah dengan memastikan pengedaran dadah dapat diperangi sepenuhnya.
Jelas beliau, selagi terdapat pengedaran dadah, maka usaha untuk memastikan penyalahgunaan dadah dapat dibanteras adalah sukar.
“Kita perlu ingat sekiranya tiada tawaran, maka tiada permintaan. Dalam soal ini, penumpuan harus ditingkatkan dari segi pengedaran dadah.
“Dalam erti kata lain, usaha memastikan tokan-tokan atau jerung dadah perlu diperangi habis-habisan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, stigma masyarakat terhadap golongan bekas penagih juga merupakan salah satu faktor penyalah gunaan dadah terus berlaku.Jelas Mohammad Shukri, terdapat bekas penagih yang nekad mahu berubah namun tewas gara-gara tidak diterima masyarakat.
“Masalah berlaku apabila golongan bekas penagih ini tidak diterima oleh masyarakat. Apabila bekas penagih berusaha untuk pulih, namun tidak berhasil kerana berdepan dengan pandangan masyarakat yang negatif.
“Harus diingat, semua insan memiliki peluang kedua, andai bekas penagih sentiasa diberikan stigma negatif, bagaimana mereka nak berubah, malah sekiranya mereka kembali menagih, ia bukan sahaja kerugian kepada individu berkenaan tetapi juga kepada masyarakat itu sendiri,” kata beliau.
PERANGI DADAH HABIS-HABISAN
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan membanteras habis-habisan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai usaha memastikan negara bersih daripada dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, masalah dadah adalah perkara yang serius.
“Masalah dadah boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti kes sosial dan jenayah.
“Kalau kita dapat tangani masalah dadah ini, sudah tentu kita akan dapat kawal semua masalah jenayah yang berkaitan dadah,” tegas beliau.
Ayob Khan berkata, polis akan memerangi habis-habisan individu yang terlibat dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah ekoran kesan besar yang ditinggalkan gejala itu.
“Pelbagai kesan besar angkara penyalahgunaan dadah termasuklah membunuh ahli keluarga sendiri kerana ingin mendapatkan wang untuk membeli dadah.
“Malaysia telah lama mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara dan polis akan perang habis-habisan mereka ini. Tiada amaran lagi buat mereka. Ini jihad menentang dadah musuh nombor satu negara,” katanya.
Menurutnya, kerjasama masyarakat amat penting bagi memerangi dadah.
“Kita mahu masyarakat beri kerjasama penuh termasuk kalangan ibu bapa.
“Laporkan segera kepada polis sekiranya ada anak mereka terlibat dengan dadah untuk tindakan dan rawatan awal sebelum terlambat. Usah tunggu parah,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!