Ibu tunggal nyaris ditipu penderma palsu

A
A
A

PUCHONG - Seorang peniaga kuih nyaris ditipu sindiket penipuan yang mendakwa kononnya memberi bantuan kewangan dengan memasukkan sejumlah wang dalam akaun bank milik mangsa.

Ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 36, berkata, dia menerima pesanan mesej menerusi sistem aplikasi WhatsApp daripada satu nombor telefon menggunakan gambar wanita memberitahu sudah membuat memasukkan sejumlah wang kepadanya.

Menurutnya, pihak yang cuba menipunya itu mendakwa sudah mendepositkan wang dalam akaun banknya menerusi nombor akaun yang menjadi tular di media sosial selepas arwah suaminya maut dalam nahas jalan raya.

"Selepas suami maut dalam nahas jalan raya, ada pihak yang tularkan nombor akaun saya untuk galak orang ramai beri bantuan kewangan.

“Pada 26 Februari lalu, ada seseorang WhatsApp saya beritahu dah deposit duit sebanyak RM700 tapi syarikatnya hanya nak derma RM300. Jadi dia minta saya pulangkan balik RM400 menerusi satu akaun bank. Dia siap hantar gambar slip bank tertera jumlah duit sumbangan yang sudah deposit.

Laporan polis dibuat Nur selepas cuba ditipu ‘penderma’ palsu.
Laporan polis dibuat Nur selepas cuba ditipu ‘penderma’ palsu.

"Mulanya saya rasa biasa saja tapi bila dia desak berkali-kali buatkan saya curiga dan terus buat semakan kepada bank menerusi kaedah dalam talian. Apa yang mengejutkan tiada transaksi wang masuk dalam nilai dinyatakan pada hari berkenaan," katanya.

Nur berkata, pengirim WhatsApp berterusan mendesaknya dan mendakwa bakal kehilangan kerja jika wang sebanyak RM400 tidak dipulangkan kepada majikannya.

Artikel Berkaitan:

Pengirim WhatsApp itu juga mengugut untuk membuat laporan polis jika Nur tidak 'memulangkan' kembali wang tersebut.

"Saya beritahu tak boleh keluar rumah kerana baru kematian suami, tapi bila akhirnya dia terus desak saya ambil keputusan buat laporan polis di Balai Polis USJ 8.

"Saya sedih dalam keadaan macam ni (kematian suami) masih ada yang berniat nak tipu, " katanya yang kemudian dimaklumkan pihak polis slip bank dihantar penipu itu dipercayai sudah diubah suai.

Terdahulu, arwah suaminya dilapor meninggal dunia dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!