Penyokong Leeds perlu raikan ‘sesuatu’ berdepan MU
PENGENDALI Leeds United, Marcelo Bielsa menggesa skuad kendaliannya itu untuk memberikan 'sesuatu' untuk diraikan penyokong ketika berdepan Manchester United di Elland Road pada Ahad.
Menurut Bielsa, keraian itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada kesemua penyokong skuad The Whites itu yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada pasukan dalam apa juga keadaan.
“Sebenarnya, penghargaan ini bukan atas prestasi pasukan tetapi lebih kepada apa yang sering diberikan oleh penyokong kepada pasukan.
“Mereka (penyokong) sentiasa menyokong pasukan ini dengan sepenuh hati tanpa mengira sama ada pasukan dalam prestasi yang baik atau sebaliknya.
“Oleh itu aksi berdepan pasukan seperti United perlu dimanfaatkan pemain bagi memberikan ‘sesuatu’ yang boleh diraikan penyokong,” katanya.
Untuk rekod, Leeds United kini berada pada kedudukan ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 23 mata setelah mengharungi 23 perlawanan.
Sementara itu, Bielsa enggan mengulas lanjut berhubung kontraknya yang bakal tamat musim panas nanti.
Malah pengendali kelahiran Argentina itu tidak mahu bercakap mengenai bekas pengendali RB Leipzig, Jesse Marsch yang disebut-sebut bakal menggantikannya kelak.
“Bagi saya, belum tiba masanya untuk kita bercakap atau berbincang mengenai perkara berkenaan ketika ini.
"Apa yang penting ketika ini adalah untuk memastikan pasukan mencatatkan seberapa banyak kemenangan dan menamatkan musim ini pada kedudukan yang lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!