Percepatkan dos penggalak di kesemua pusat jagaan warga emas

Gabungan Kesihatan Malaysia dan Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia gesa kerajaan percepatkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada kesemua pusat jagaan warga emas. - Foto 123rf
Gabungan Kesihatan Malaysia dan Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia gesa kerajaan percepatkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada kesemua pusat jagaan warga emas. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) dan Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MGSM) menggesa agar kerajaan mempercepatkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada kesemua pusat jagaan warga emas.

Persatuan itu dalam satu kenyataan bersama berkata, ia penting bagi memastikan golongan warga emas dapat mengharungi gelombang varian Omicron dengan kadar jangkitan minimum.

Tambah persatuan tersebut, mereka melahirkan kerisauan dengan lonjakan kes harian Covid-19, dengan sebahagian besar warga emas di pusat jagaan masih lagi belum menerima dos penggalak.

“Walaupun terdapat segelintir warga emas yang mampu mendapatkan dos penggalak di pusat vaksinasi tanpa sebarang bantuan, namun situasi ini tidak sama dengan golongan warga emas di pusat-pusat jagaan,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan itu turut ditandatangani 15 persatuan daripada MHC dan MGSM, antaranya Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Health, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Ahli Farmasi Malaysia.

Mengulas lanjut, mereka berkata, semua pihak dan sukarelawan yang terbabit juga perlu berusaha mencari dan berhubung dengan pusat-pusat warga emas bagi menjalankan vaksinasi bergerak tanpa mengira status pendaftaran mereka.

“Vaksin harus dibawa kepada golongan warga emas rentan ini dan bukanlah mereka yang perlu mencari bekalan vaksin.

“Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk memastikan semua warga emas divaksinasi dan digalak dengan secepat mungkin,” tegas mereka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!