Kehadiran Rafizi, Nurul Izzah mampu perkukuh PKR
IPOH - [DIKEMAS KINI] Kehadiran semula pemimpin berpengalaman seperti bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam barisan kepimpinan utama mampu memperkukuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, bukan sahaja Rafizi tetapi mana-mana tokoh pimpinan yang mahu kembali aktif berpolitik seperti Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut dialu-alukan untuk membantu parti.
Menurutnya, gabungan pemimpin lama dan baharu di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti bakal mencetuskan kekuatan sebagai persiapan menghadapi musuh dalam pilihan raya akan datang.
"Dalam ucapan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengingatkan semua anggota parti supaya menggarap segala kekuatan untuk memperteguhkan parti. Jadi pada saya kehadiran individu seperti Rafizi dan Nurul Izzah perlu dialu-alukan.
"Sekarang kita memikirkan khemah besar pembangkang pada masa yang sama khemah parti kita juga perlu kuat. Kita perlu ramai pemimpin untuk bersama-sama membantu parti," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Muhamad Arafat yang juga Ketua PKR Cabang Tambun berkata, kehadiran mereka tidak akan membawa kepada perpecahan dalam parti walaupun mungkin terdapat ahli yang tidak bersetuju dengan kemunculan semula pemimpin berkenaan.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri turut senada dengan Muhamad Arafat yang menyambut baik kehadiran pemimpin lama seperti Rafizi untuk kembali aktif berpolitik.
Menurutnya, pengalaman Rafizi boleh digabung jalin dengan pemimpin sedia ada dalam keadaan parti sedang mempersiap jentera ke arah PRU15.
"Beliau (Rafizi) pun ada sumbangan di dalam parti. Dalam keadaan kita mahu berdepan PRU15, kita kena garap semua kekuatan yang ada.
"Kita perlu meraikan sesiapa sahaja yang mahu membantu parti. Pemilihan parti perlu menjadi medan untuk menguatkan parti," katanya.
Rafizi pada tahun 2019 mengumumkan untuk meninggalkan dunia politik kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang baharu.
Bagaimanapun, bekas Naib Presiden PKR itu sedang mempertimbangkan untuk kembali aktif dalam politik dan disebut-sebut bakal merebut jawatan dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada April depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!