MAFI sumbang 13.2 tan produk hasilan haiwan

Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan produk hasilan haiwan di Penjara Pengkalan Chepa pada Sabtu.
Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan produk hasilan haiwan di Penjara Pengkalan Chepa pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) menyerahkan 13.2 tan sumbangan produk hasilan haiwan bernilai RM134,000 di bawah Program MAFI Prihatin kepada pelbagai agensi dan jabatan tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sumbangan berkenaan adalah melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melibatkan bekalan makanan haiwan seperti keratan ayam sejuk beku, daging sejuk beku dan pelbagai produk hasilan haiwan lain.

Menurutnya, hasilan haiwan berkenaan daripada hasil sitaan pengimportan yang telah dilucutkan hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti yang tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Hari ini kita serahkan enam tan hasilan haiwan yang dianggarkan berjumlah RM60,000 kepada lima jabatan antaranya Jabatan Penjara Pengkalan Chepa dan Machang, Jabatan Penjara Marang, Penjara Menor Kuantan dan Pusat Pemulihan Akhlak, Machang.

"Serahan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah Program Rehabilitasi banduan di Jabatan Penjara Malaysia," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Nik Muhammad Zawawi sebelum itu hadir menyampaikan sumbangan berkenaan di Jabatan Penjara Pengkalan Chepa di sini.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, MAFI kini giat membantu jabatan dan agensi yang memerlukan di samping memastikan industri pertanian negara terkawal daripada sebarang penyakit dan perosak merbahaya melalui penguatkuasaan Maqis di setiap pintu masuk negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Maqis juga akan terus komited dan tegas dalam melakukan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian khususnya dagangan yang melibatkan ayam dan daging.

"Maqis tidak akan berkompromi sekiranya melibatkan aspek halal kerana ini adalah perkara yang paling dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia khususnya umat Islam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!