Hanya 2,450 pengunjung dibenar hadir Gala Citrawarna Keluarga Malaysia
SIMUNJAN (Sarawak) - Hanya 2,450 pengunjung dibenarkan menghadiri malam gala Program Citrawarna Keluarga Malaysia pada 26 Feb ini di Tebingan Sungai Kuching, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, melihat perkembangan terkini situasi jangkitan Covid-19 di seluruh dunia yang semakin meningkat, pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah merangka prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk pengunjung ke program itu.
"Antaranya kita telah menambah bilangan kanopi daripada satu kepada tujuh buah. Setiap kanopi akan memuatkan 350 orang dan setiap pergerakan keluar masuk ke kanopi itu akan dikawal oleh penguat kuasa bagi mematuhi pengehadan bilangan pengunjung yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Parlimen Batang Sadong di kawasan tempat letak kereta Dewan Mesra Simunjan, di sini, kira-kira 85 kilometer dari Bandaraya Kuching pada Sabtu.
PJKM yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu memberi peluang kepada lebih daripada 40,000 penduduk tempatan untuk turut sama menikmati peluang membeli barang keperluan harian yang ditawarkan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada biasa.
Berhubung Program Citrawarna Keluarga Malaysia, Nancy berkata, program bertemakan Temasya Kepelbagaian Budaya itu akan memberi kemeriahan fiesta warna-warni dengan kepelbagaian program dan aktiviti pelancongan serta persembahan seni dan budaya Malaysia, dan ia dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, pelaksanaan Program Citrawarna Keluarga Malaysia itu juga sebagai penanda aras bagi pelaksanaan program-program MOTAC yang akan datang melalui kaedah norma baharu.
"Memang apabila kita mengadakan acara itu pada waktu sekarang ini, akan wujud ‘fear factor’ dalam kalangan masyarakat berhubung penularan jangkitan. Saya sendiri turut merasa risau, tetapi atas faktor ekonomi dan pemain industri lain yang bergantung kepada acara itu, ia harus diteruskan,” katanya.
Selain malam gala pada hari Sabtu, beberapa acara lagi yang disusun untuk memeriahkan Program Citrawarna Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari mulai Khamis ini ialah festival kraf Sarawak, konsert Sape, festival gendang Sarawak, peragaan busana kraf tekstil Malaysia, ‘food bazaar’ serta persembahan bunga api dan pertunjukan air pancut muzikal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!