ASEAN diminta lebih tegas desak kuasa besar dunia kekang persaingan

Don Pramudwinai
Don Pramudwinai
A
A
A

BANGKOK - Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga Menteri Luar Don Pramudwinai menyeru ASEAN agar lebih tegas menggesa kuasa besar dunia, terutama Rakan Dialog ASEAN untuk mengekang persaingan.

Ketika Pemukiman Menteri Luar ASEAN (Pemukiman AMM) menerusi persidangan video pada Rabu, Don bertukar-tukar pandangan mengenai situasi serantau dan antarabangsa, menurut kenyataan Kementerian Luar.

"Dalam hal ini, Don menyeru ASEAN agar lebih tegas menggesa Rakan Dialog ASEAN mengelakkan persaingan sehingga mewujudkan banyak ketegangan global.

"Ia boleh dicapai dengan mewujudkan kepercayaan serta penglibatan aktif ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran mampan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, ASEAN telah mengadakan Perkongsian Dialog dengan Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mesyuarat Menteri Luar itu anjuran Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022.

Selaku Pengerusi ASEAN, Kemboja telah memberi taklimat komprehensif, bertemakan "ASEAN A.C.T.: Menangani Cabaran Bersama”, yang memfokuskan kepada semangat kebersamaan ASEAN serta meningkatkan kerjasama dalam berdepan cabaran masa hadapan di rantau ini.

Don turut menyeru blok ASEAN mengukuhkan solidariti bagi mengekalkan perpaduan, kesepaduan, perhubungan dan kepimpinan dalam mendepani detik mencabar ini.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat itu juga menyokong penuh peranan Timbalan Perdana Menteri, Prak Sokhonn yang juga Menteri Luar Kemboja sebagai Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar, dalam memudahkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui Pemimpin ASEAN.

Pada 24 April 2021, Don juga menyuarakan pandangan mengenai langkah mempromosikan peranan konstruktif ASEAN dalam penyelesaian aman bagi situasi di Myanmar.

Beliau juga memperincikan mengenai akujanji Thailand sebagai Penyelaras ASEAN bagi Kerjasama Pembangunan Mampan dan menggalakkan ASEAN mempercepat pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan melalui kerjasama model Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!