Peruntukan RM300 juta sambung pembinaan Lebuhraya Rakyat

Mustapa (kiri) semasa mengadakan lawatan di tapak projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kok Lanas pada Sabtu.
Mustapa (kiri) semasa mengadakan lawatan di tapak projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kok Lanas pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi menyambung projek Lebuhraya Rakyat yang dibina oleh kerajaan negeri Kelantan sebelum ini melibatkan jarak 10 kilometer (km) bermula dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan yang mengambil tempoh selama 36 bulan itu dijangka siap sepenuhnya pada April 2025.

"Untuk makluman, sebanyak 35 peratus projek tersebut telah disiapkan oleh pihak kerajaan Kelantan," katanya selepas mengadakan lawatan di tapak projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kok Lanas di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor.

Menurutnya, selepas selesai proses pengambil alihan dan tender, kerajaan menjangkakan projek tersebut akan disambung dalam tempoh dua bulan lagi mengikut kos yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kok Lanas itu akan yang bersambung dengan projek Central Spine Road (CRS) yang bermula di Kuala Krai.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, ianya meliputi tujuh pakej dengan anggaran keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata, mengikut perancangan asal projek bagi Laluan Ketereh-Kok Lanas dijangka siap pada 29 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagaimanapun projek itu menghadapi kelewatan sebanyak 15 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini.

"Projek sepanjang 6.2 kilometer ini sebenarnya tiada masalah, namun difahamkan kontraktor menghadapi kekangan disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah pengambilan tanah, kewangan di samping kenaikan kos bahan binaan.

"Setakat ini, projek berkenaan tiada kos tambahan dan ia masih dalam bajet kos asal iaitu RM200 juta memandangkan setakat ini perlaksanaannya hanya menelan belanja sebanyak RM168 juta," katanya.

Katanya, walaupun menghadapi pelbagai kekangan, namun projek ini akan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya untuk tindakan susulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!