100,000 veteran ATM digesa daftar JHEV

Ikmal Hisham (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil vetaran ATM semasa lawatan kerjanya di Taman Pelangi di sini pada Sabtu
Ikmal Hisham (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil vetaran ATM semasa lawatan kerjanya di Taman Pelangi di sini pada Sabtu
A
A
A

KLUANG - Kira-kira 100,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaporkan masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) diminta tampil berbuat demikian bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima sebarang manfaat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, tindakan itu bagi memastikan tiada lagi veteran ATM yang dipinggirkan selain tidak menerima sebarang pembelaan.

"Setakat ini terdapat seramai 204,000 veteran ATM berdaftar dan JHEV sentiasa komited untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang rata-ratanya adalah kelompok golongan berpendapatan rendah (B40).

"Kepada veteran-veteran yang belum berdaftar dijangka lebih 100,000 veteran, kita mohon tampil dan berdaftar dengan JHEV.

"Dengan cara ini kita boleh bantu dan pastikan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan ke rumah veteran ATM menerusi Program Cakna Veteran ATM di Taman Pelangi di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JHEV ATM, Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Difahamkan, Program Cakna Veteran ATM mula diwujudkan pada tahun 2020 bertujuan untuk memastikan kebajikan golongan itu dan keluarganya diutamakan.

Artikel Berkaitan:

Ikmal Hisham berkata, Kementerian Pertahanan akan terus meningkatkan program cakna veteran ATM menerusi beberapa lagi siri program kebajikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!