Penjawat awam tertekan, ada yang miliki kad psikiatri: Cuepacs
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, 25 hingga 30 peratus daripada 1.67 juta penjawat awam mengalami tekanan dan trend tersebut tidak menunjukkan sebarang pengurangan sejak beberapa tahun lepas.
Menurutnya, kos sara hidup dan tekanan semasa bekerja dilihat menjadi antara faktor utama menyebabkan penjawat awam terus dibelenggu tekanan.
“Tekanan kerja ini akibatnya menyebabkan mereka diklasifikasikan sebagai pesakit psikiatri. Mula-mula mereka kelihatan baik sebelum berlaku kemurungan dan akhirnya sampai tidak boleh bercakap.
“Mengikut data terkini sehingga 2019 dari Indeks Kesejahteraan Pekerja, trend tersebut tidak berkurang. Semua peringkat terkesan baik dari peringkat bawah hingga peringkat atasan.
“Ada lebih 700 agensi, semua sektor ada pekerja tertekan. Guru, yang bekerja di hospital pun sama malah ada yang runtuh rumah tangga akibat tekanan sebegini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Cuepacs, di sini, pagi tadi.
Tambah beliau, mereka yang menghadapi masalah itu tidak boleh fokus kepada kerja mereka malah ada yang menghadapi masalah untuk bangun pagi.
"Bila kita hadapkan mereka kepada panel untuk kita keluarkan dari perkhidmatan, mereka keluarkan kad psikiatri itu.
"Kami ada kad psikiatri katanya, maknanya kita dapati bahawa memang penjawat awam ini stress yang melampau yang akhirnya dapat kad ini.
"Mereka masih bekerja tapi mereka akan buat hal mereka sahaja, tidak bercakap dengan orang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azih menyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan Program Mentakafulkan Penjawat Awam Melalui MyCuepacsCare pada 25 Mac nanti.
Justeru, beliau berharap lebih ramai penjawat awam menyertai pelan takaful tersebut yang menawarkan bayaran berpatutan dan menyediakan perlindungan terbaik kepada penjawat awam.
“Kita mahu semua penjawat awam mempunyai sekurang-kurangnya satu perlindungan insurans. MyCuepacsCare menawarkan harga rendah iaitu RM32 untuk pelan individu dan RM85 untuk pelan keluarga.
“Saya fikir ini paling rendah dalam pasaran. Cuepacs berharap sokongan Perdana Menteri dapat meningkatkan kesedaran penjawat awam untuk memiliki perlindungan takaful,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!